GAMBAR HIASAN. - FOTO AFP
GAMBAR HIASAN. - FOTO AFP
AFP

Copenhagen: Denmark tidak lagi mewajibkan pemakaian pelitup muka dalam pengangkutan awam bermula hari ini, yang juga antara peraturan Covid-19 terakhir dimansuhkan.

Menteri Pengangkutan, Benny Engelbrecht, dalam satu kenyataan berkata, perubahan itu sepatutnya dijadualkan pada 1 September ini tetapi diawalkan.

"Kita kini berada dalam keadaan di mana sebahagian besar penduduk sudah divaksin dan kita beransur kembali kepada kehidupan seperti biasa.

"Kita boleh mengucapkan selamat tinggal kepada peraturan pelitup muka dalam bas, kereta api dan metro," katanya.

Rabu lalu, pihak berkuasa kesihatan melonggarkan peraturan penjarakan sosial di negara Scandinavia dengan 5.8 juta penduduk itu meskipun purata 1,000 jangkitan harian baharu dikesan sejak kebelakangan ini.

Timbalan pengarah agensi kesihatan kebangsaan, Helene Bilsted Probst berkata, lebih 60 peratus penduduk negara itu sudah menerima vaksin sepenuhnya.

"Kita kini berada dalam kawalan yang baik terhadap jangkitan dalam komuniti dan boleh menerima pakai syor pencegahan supaya penduduk boleh mengekalkan gaya hidup seharian seperti biasa.

"Ini boleh dilakukan sambil kita mematuhi batas pencegahan penularan Covid-19 ini," katanya.

Bagaimanapun, pemakaian pelitup muka diwajibkan dalam kapal terbang dan lapangan terbang, di mana peraturan penerbangan udara antarabangsa berkaitan pelitup muka masih terpakai.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Ogos 2021 @ 8:06 PM