FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Agensi

Beijing: Pihak berkuasa China sedang menyiasat sebuah syarikat teknologi perubatan yang disyaki terbabit dengan aktiviti pemerdagangan bayi.

Biro Keselamatan Awam Weifang berkata, polis tempatan menahan ketua syarikat itu pada Isnin, selepas peguam bela antipemerdagangan manusia, Shangguan Zhengyi melakukan intipan dengan bantuan Xia Ruchu dari The Paper, sebuah saluran berita Shanghai.

Insider melaporkan, suspek seorang wanita yang dikenali sebagai Zhu, 40-an, dituduh menghubungkan pelanggan yang ingin memiliki bayi dengan wanita hamil yang ingin menjual bayi.

Seorang bayi yang baru lahir dijual pada harga AS$20,000 (kira-kira RM84,567) di daerah itu, kata Xia, yang membantu Shangguan dalam siasatannya.

Zhu berkhidmat sebagai orang tengah untuk transaksi terbabit dan memaklumkan bahawa dia sudah berurusan dengan 20 hingga 30 pelanggan setahun, kata The Paper.

Dia juga menawarkan untuk membantu pembeli mendapatkan daftar kelahiran bayi dan mempunyai sistem menukar nama pelanggannya pada dokumentasi kelahiran.

Ia bertujuan memastikan ibu bapa kandung tidak dapat mencari dan mendapatkan semula anak, sekiranya mereka berubah fikiran.

Zhu mendakwa, dia mengenali beberapa doktor dan jururawat hospital dan meminta mereka untuk bersubahat dengannya.

Shangguan juga menyiarkan gambar sijil perubatan yang dipalsukan dan mendedahkan kakitangan di enam hospital yang membantu Zhu untuk mendapatkan dokumen berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Ogos 2021 @ 7:02 AM