GAMBAR Osama yang didedahkan oleh buku mengenai lokasi persembunyian Osama Laden. FOTO Agensi
GAMBAR Osama yang didedahkan oleh buku mengenai lokasi persembunyian Osama Laden. FOTO Agensi
Agensi

Islamabad: Agensi Risikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat (AS) mendedahkan lokasi persembunyian Osama Laden diketahui melalui jemuran baju oleh isterinya.

Jemuran baju itu juga menguatkan lagi risikan CIA untuk menemui rumah lelaki yang dianggap buruan paling penting ketika itu.

Perkara itu didedahkan selepas bekas produser CNN, Peter Bergen menerusi buku ditulis The Rise and Fall of Osama bin Laden yang dijual bermula hari ini.

Osama dikatakan individu bertanggungjawab dalam serangan 9/11 yang mengorbankan 2,977 mangsa menyebabkan keluarga besar Osama berpecah.

Osama dikatakan bersembunyi di pergunungan Afghanistan dan utara Pakistan.

Pada 2004, ketika AS disibukkan dengan perang di Afghanistan dan Iraq, Osama menyedari pemburuannya sudah reda.

Dia memerintahkan pembantu peribadinya, Ibrahim Saeed Ahmed Abd Al Hamid untuk membeli tanah, mengupah arkitek, membina rumah besar untuk menampung keluarga besar yang disatukan kembali di Abottabad, Pakistan.

Ibrahim lalu memulakan misinya dengan membeli tanah bernilai AS$50,000 (RM211,265) atas namanya dan merancang membangunkan rumah mengikut spesifikasi diberikan bosnya.

Rumah tiga tingkat itu dibangunkan dengan empat bilik tidur di tingkat satu, empat lagi di tingkat dua, masing-masing dengan bilik mandi.

Tingkat paling atas adalah bilik mandi, bilik tidur, ruang belajar dan balkoni untuk Osama.

Mereka turut menerapkan protokol keselamatan ketat supaya tidak dikesan.

Malah, mereka membuat panggilan penting di bandar besar sebelum mencabut bateri daripada telefon bimbit supaya tidak boleh dikesan.

Keluarga Osama jarang meninggalkan rumah kecuali Amal El Sadah yang juga isteri ketiga Osama, yang dua kali ke hospital setempat untuk melahirkan bayi mereka menggunakan nama samaran.

Ia menunjukkan surat identiti palsu dan berpura-pura pekak untuk mengelak soalan mencurigakan.

Pada 2010, CIA mendapat petunjuk baharu apabila seorang pemberi maklumat di bandar Peshawar, Pakistan, melihat lelaki disyaki sebagai Ibrahim, pengawal setia Osama.

Ejen CIA mengikutinya dan pada Ogos 2010 jip putih Ibrahim membawa CIA ke rumah setinggi 5.4 meter dengan kawat berduri di sekelilingnya.

Rumah itu pelik kerana tiada jaringan komunikasi atau internet, padahal untuk rumah sebesar itu pasti pemiliknya sangat kaya.

Rumah utamanya besar, ada beberapa tingkap dan balkoni terbuka di tingkat atas yang dikelilingi tembok tinggi di semua sisi.

"Siapa yang memasang dinding peribadi di keliling balkoni," kata Pengarah CIA ketika itu, Leon Panetta kepada anak buahnya.

CIA lalu mendirikan rumah persembunyian berdekatan tempat tinggal pemimpin Al-Qaeda itu.

Mereka meneliti kehidupan penduduk sekitar dan menemui perkara menarik.

Jiran tetangga membuang sampah seperti biasa, tetapi ada satu rumah yang selalu membakar sampah sendiri.

Rumah itu juga dikelilingi tembok kebun kecil untuk menanam epal, sayuran, anggur, madu, malah ayam dan lembu juga dipelihara.

CIA yakin itu rumah Osama ketika mengamati pakaian dijemur setiap hari.

Menurut kiraan pakaian dibasuh setiap hari, pakaian itu milik seorang lelaki dewasa, beberapa wanita dewasa dan sekurang-kurangnya sembilan anak.

Sesuai dengan profil poligami Osama yang memiliki tiga isteri, lapan anak paling bongsu, empat cucu termasuk bayi berusia dua hingga tiga tahun.

Pada 14 Disember 2010, Panetta menyerahkan bukti diperoleh CIA kepada Presiden Barack Obama.

Tiada gambar Osama diperoleh CIA untuk membuktikan dengan jelas itu lokasi persembunyiannya, tetapi juga tiada bukti lain yang menyangkal penemuan, tulis Bergen.

Obama yakin dengan pendedahan itu sebelum mengarahkan Navy Seal AS melakukan operasi yang akhirnya pada 1 Mei 2011 membunuh Osama ketika berusia 54 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Ogos 2021 @ 7:01 AM