Seorang pesakit warga emas yang dijangkiti Covid-19 dibawa ke hospital di kawasan Charoen Krung, Bangkok. - FOTO AFP
Seorang pesakit warga emas yang dijangkiti Covid-19 dibawa ke hospital di kawasan Charoen Krung, Bangkok. - FOTO AFP
Agensi

Bangkok: Pejabat Keselamatan Kesihatan Nasional (NHSO) akan membeli tambahan 27 juta tablet ubat antiviral, favipiravir tahun ini dan tahun depan untuk rawatan pesakit Covid-19.

Jawatankuasa NHSO turut meluluskan pembelian vaksin tambahan, bekalan ubat dan kit ujian makmal untuk kegunaan rawatan Covid-19 ke dalam skim insurans kesihatan nasional.

Pembelian 27 juta tablet favipiravir tahun ini yang bernilai 891 juta baht (RM114 juta), adalah daripada belanjawan Covid-19 tahun ini.

Ketua Setiausaha NHSO, Jadet Thammathat-Aree berkata, pembelian berkenaan dijangka dapat mengatasi masalah kekurangan bekalan yang dihadapi ketika ini.

"Kementerian Kesihatan Awam sebelum ini mengeluarkan garis panduan berkaitan rawatan Covid-19 namun, berlaku kekangan untuk meneruskan perkhidmatan berkenaan.

"Maka, jawatankuasa NHSO meluluskan untuk memasukkan semua item berkenaan ke dalam insurans kesihatan nasional," katanya seperti dilaporkan Bangkok Post.

Untuk penggunaan favipiravir, berdasarkan garis panduan kementerian, ubat berkenaan diberikan kepada pesakit Covid-19 secepat mungkin, dengan 50 tablet untuk setiap pesakit.

Kementerian sebelum ini merancang untuk membeli 40 juta tablet ubat berkenaan pada September tahun ini namun, jumlah berkenaan tidak memadai.

Maka, pembelian 27 juta tablet itu adalah tambahan kepada jumlah yang dinyatakan sebelum ini.

Sementara itu, Thailand melaporkan 18,912 kes baru Covid-19 dalam tempoh 24 jam, angka harian kedua tertinggi dicatatkan setakat ini.

Sebanyak 147 kematian dicatatkan dalam tempoh sama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Ogos 2021 @ 7:22 PM