Seorang wanita mendapatkan suntikan vaksin Sinovac di hospital medan di Denpasar, Bali, Indonesia. - FOTO AFP
Seorang wanita mendapatkan suntikan vaksin Sinovac di hospital medan di Denpasar, Bali, Indonesia. - FOTO AFP
Agensi

Jakarta: Kakitangan kesihatan di Indonesia mula menerima dos ketiga vaksin Covid-19 atau dos penggalak menggunakan vaksin Moderna daripada inisiatif Covax.

Pelaksanaan vaksinasi itu dimulakan sejak semalam dan sehingga kini seramai 117 kakitangan sudah menerima vaksin berkenaan.

Jurucakap Rumah Sakit Umum Pusat (RSUP) Haji Adam Malik, Rosario Dorothy Simanjuntak berkata, kakitangan di hospital berkenaan meletakkan sasaran awal untuk memberikan vaksin kepada 300 kakitangan setiap hari.

"Sebanyak 300 suntikan akan diberi setiap hari sehingga 7 Ogos ini. Kami jangka ia akan selesai pada September nanti," katanya seperti dilaporkan Kompas.

Secara keseluruhan, sebanyak 3,873 kakitangan di RSUP Adam Malik yang sudah menerima vaksin Covid-19 dos kedua dan memenuhi syarat untuk mendapatkan vaksin penggalak.

Jumlah ini termasuk pembantu kesihatan dan kakitangan lain yang bekerja di hospital berkenaan.

Sementara itu, Indonesia mencatatkan pertambahan 33,900 pesakit baru Covid-19 dan 1,598 kematian dalam tempoh 24 jam.

Ia menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 di Indonesia mencecah 3.49 juta dan 98,889 kematian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Ogos 2021 @ 6:57 PM