Agensi

Jakarta: Dua harimau Sumatera di Taman Margasatwa Ragunan (TMR) dikesan dijangkiti Covid-19.

Bagaimanapun, pengesanan dan ujian hanya akan dilakukan kepada haiwan lain jika menunjukkan gejala klinikal.

"Ujian calitan hanya dilakukan jika haiwan lain ada gejala, jika tiada ujian tidak akan dilakukan kerana agak sukar melakukan ujian terhadap haiwan terbabit," kata pihak perhubungan awam TMR, Bambang Wahyudi di Jakarta Selatan, Isnin.

Menurut Detik.com, Bambang memaklumkan pihaknya akan terus memantau kesihatan haiwan lain yang berada di TMR Ragunan.

Katanya, jika didapati mempunyai gejala klinikal pihaknya akan mengambil tindakan segera.

"Kemungkinan berlaku penularan (pada haiwan lain) ada, tetapi haiwan lain hanya dipantau... Jika menunjukkan gejala klinikal kita akan mengambil tindakan termasuk mengambil sampel.

"Setakat ini, tiada maklumat lagi, mudah-mudahan tiada haiwan lain yang dijangkiti virus ini selain Hari dan Tino," katanya.

Katanya, jangkitan Covid-19 terhadap haiwan adalah pertama kali direkodkan di Indonesia.

HARIMAU Sumatera. FOTO Agensi
HARIMAU Sumatera. FOTO Agensi

Beliau turut menegaskan, penularan virus itu kepada dua harimau membuktikan Covid-19 sangat ganas dan boleh dijangkiti daripada manusia kepada haiwan.

Ketua Perkhidmatan Taman dan Hutan Jakarta, Suzi Marsitawati berkata, pada mulanya, mereka mengesan seekor daripada harimau berkenaan iatu Tino mengalami gejala Covid-19.

Tidak berapa lama kemudian, seekor lagi harimau iaitu Hari mengalami gejala sama, dan ujian calitan yang dijalankan mendapati keputusannya positif.

"Pada 14 Julai, kami mengambil sampel dan keputusan pada 15 Julai menunjukkan kedua-dua harimau itu positif Covid-19," katanya dalam kenyataan.

Suzi berkata, kesihatan kedua-dua harimau itu semakin pulih dan beransur sihat selepas diberi rawatan antara 10 hingga 12 hari.

Katanya, sehingga kini, pihaknya masih mencari punca kedua-dua harimau Sumatera itu dijangkiti Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Ogos 2021 @ 10:52 AM