Wanita Iran mengenakan pelitup muka di pasar Tajrish di Tehran. - FOTO EPA
Wanita Iran mengenakan pelitup muka di pasar Tajrish di Tehran. - FOTO EPA
AFP

Tehran: Iran merekodkan angka melebihi 37,000 buat pertama kalinya bagi kes harian Covid-19 hari ini, dengan jumlah kematian tertinggi setakat ini dalam tempoh tiga bulan.

Dalam tempoh 24 jam, Iran mencatatkan 37,189 kes positif menjadikan jumlah keseluruhan 3.94 juta sejak ia mula dikesan tahun lalu.

Pihak berkuasa menyifatkan Iran kini dilanda gelombang kelima wabak berkenaan.

Ia turut merekodkan 411 kematian hari ini menjadikan jumlah keseluruhan 91,407 mangsa maut akibat virus ini.

Ia menyalahkan kelalaian dalam menjaga protokol kesihatan selain varian Delta yang agresif menyebabkan jumlah kes meningkat mendadak.

Timbalan Menteri Kesihatan, Iraj Harirchi memberi amaran bahawa sekiranya situasi sama terus berlaku, Iran mungkin mencatatkan kematian harian mencecah 500.

Iran meletakkan harapan program vaksinasi dapat membantu menyelamatkan keadaan, namun kempen yang bermula Februari lalu berlangsung terlalu perlahan berbanding yang dirancang.

Berdepan masalah sekatan oleh Amerika Syarikat (AS), Iran sukar untuk memindahkan dana ke firma asing menyebabkannya tidak dapat mengimport vaksin.

Setakat ini, lebih 10.2 juta warga Iran sudah menerima dos pertama, dan 2.7 juta sudah lengkap dua dos vaksin Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Ogos 2021 @ 7:33 PM