POLIS membongkar ratusan alat pemadam api yang diubah suai menjadi tangki oksigen. FOTO detikcom
POLIS membongkar ratusan alat pemadam api yang diubah suai menjadi tangki oksigen. FOTO detikcom
Agensi

Jakarta: Seorang lelaki ditahan polis selepas mengubah suai alat pemadam api menjadi tangki oksigen.

Detiknews melaporkan, alat berwarna merah berkenaan dicat menyerupai tangki oksigen dan suspek kemudian mengisi oksigen ke dalamnya.

"Dia (suspek) bersihkan dengan air saja, kemudian cat putih. Dia ubah alat itu seperti tangki oksigen.

"Ia dijual kepada pesakit sama ada di hospital atau di rumah," kata polis daerah Metro Jaya Yusri Yunus.

Suspek menjual peralatan itu menerusi akaun Facebook, Erwan O2, dan sudah menjual 20 unit, setakat ini.

"Dia beli alat itu di pasaran dengan harga 700,00 Rupiah (kira-kira RM204). Alat yang selesai diubah suai dijual pada harga 5 juta Rupiah (kira-kira RM1,461)," katanya.

Menurutnya, tindakan berkenaan sangat bahaya kerana ketebalan antara kedua-dua tangki sebenarnya berbeza.

Selain mengandungi racun, ia boleh meletup ketika digunakan orang ramai.

Suspek didakwa mengikut Fasal 36 berkaitan kesihatan dan Fasal 113 Peraturan Perdagangan yang membawa hukuman penjara 10 tahun.

Setakat ini Indonesia mencatatkan sejumlah 3.37 juta kes Covid-19 dengan 92,311 kematian.

Penularan varian Delta menyebabkan peningkatan kes sekali gus menyaksikan peningkatan permintaan terhadap tong oksigen untuk kegunaan pesakit Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Ogos 2021 @ 7:15 AM