Pesakit Covid-19 menaiki pesawat tentera Thailand untuk dihantar pulang ke kampung halaman mereka. - FOTO EPA
Pesakit Covid-19 menaiki pesawat tentera Thailand untuk dihantar pulang ke kampung halaman mereka. - FOTO EPA
BERNAMA

Bangkok: Pihak berkuasa akan menyekat kemasukan pelancong domestik ke Phuket bermula 3 hingga 16 Ogos ini.

Namun, ia tidak menjejaskan pelancong asing di bawah inisiatif Phuket Sandbox.

Pengarah Bahagian Maklumat, Kementerian Luar Negeri, Pensom Lertsithichai berkata, pelancong domestik dari wilayah lain menggunakan kenderaan udara, air atau darat tidak dibenarkan memasuki Phuket.

Namun, katanya mereka yang terbabit dalam urusan penghantaran barang, produk pertanian, bekalan ubat dan pelajar akan dibenarkan memasuki pulau itu dengan syarat sudah mendapat dos lengkap vaksin Covid-19 serta disahkan negatif Covid-19.

"Kami berharap langkah ini dapat mengurangkan penularan wabak ini di pulau berkenaan," katanya.

Sementara itu, Thailand melaporkan 117 kematian dan 17,345 kes baru Covid-19 dalam tempoh 24 jam.

Daripada jumlah berkenaan, 681 membabitkan banduan.

Sembilan individu meninggal dunia di rumah.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19, Taweesilp Visanuyothin berkata, dengan jumlah kes baru yang dicatatkan itu, Thailand kini berdepan masalah kekurangan katil untuk menampung pesakit baru.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Julai 2021 @ 6:40 PM