Pekerja menyiapkan katil kadbod di hospital medan di Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang di Bangkok. - FOTO AFP
Pekerja menyiapkan katil kadbod di hospital medan di Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang di Bangkok. - FOTO AFP
AFP

Bangkok: Menteri kesihatan Thailand menyuarakan kebimbangan berikutan masalah kritikal kekurangan katil hospital dan kemudahan kuarantin untuk pesakit Covid-19 selepas ia merekodkan peningkatan mendadak kes baru.

Ia mencatatkan 17,669 kes baru dan 165 kematian dalam tempoh 24 jam.

"Saya berkata jujur bahawa kita tidak mempunyai katil mencukupi," kata Ketua Pengarah Kesihatan, Somsak Akkasilp.

"Di hospital besar, semua unit rawatan rapi (ICU) penuh. Mereka mempunyai 10 katil di ICU tetapi terpaksa mengendalikan 12 pesakit," katanya.

Hospital di pusat bandar mempunyai kapasiti untuk menguruskan 1,000 pesakit baru setiap hari namun katanya angka berkenaan sudah melebihi kemampuan mereka di mana lebih 4,000 kes dilaporkan setiap hari di Bangkok.

Walaupun pihak berkuasa menyarankan kuarantin di rumah untuk kes bergejala ringan, namun timbul masalah untuk membekalkan ubat kepada mereka.

Katanya, berikutan kemudahan kuarantin semakin penuh, pihaknya turut meminta kerjasama hospital swasta untuk menyediakan ruang bagi menempatkan pesakit ini.

"Namun, jujur saya katakan, walaupun seberapa banyak kita sediakan tempat, ia tidak mencukupi dalam situasi ketika ini.

"Kita tidak tahu sama ada pandemik ini sudah capai kemuncak atau belum. Kita mesti landaikan lengkung ini," katanya.

Thailand melaporkan lebih 561,000 kes dan 4,562 kematian setakat ini.

Jumlah kes baru mula meningkat sejak kluster pusat hiburan April lalu.

Perdana Menteri, Prayut Chan-O-Cha berdepan kritikan pedas berkaitan caranya mengendalikan krisis ini, daripada tuduhan gagal menguruskan vaksin hinggalah kes pampasan terhadap sektor terjejas.

Ketika ini, negara berkenaan memberikan vaksin Sinovac, Sinopharm dan AstraZeneca.

Namun, kempen pemberian vaksin besar-besaran dilihat terlalu perlahan dengan sebahagian besar rakyat mahukan vaksin Pfizer dan Moderna.

Kedutaan Amerika Syarikat telah mendermakan 1.5 juta dos vaksin keluaran Pfizer kepada Thailand yang dijangka tiba esok.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Julai 2021 @ 7:04 PM