FOTO fail menunjukkan perhimpunan Kongres Parti Pekerja ke-8 di Pyongyang. Korea Utara. FOTO AFP
FOTO fail menunjukkan perhimpunan Kongres Parti Pekerja ke-8 di Pyongyang. Korea Utara. FOTO AFP
AFP

Seoul: Korea Utara dan Korea Selatan mengumumkan pemulihan komunikasi rentas sempadan yang terputus lebih setahun yang lalu.

Difahamkan, pemimpin kedua-dua negara itu menyatakannya dalam surat yang dikirim kepada satu sama lain.

Ia memberi isyarat hubungan kedua-dua negara itu kembali jernih selepas Korea Utara memutuskan semua hubungan komunikasi rasmi tentera dan politik pada bulan Jun tahun lalu susulan ancaman terhadap aktivis yang menghantar risalah anti-Pyongyang melintasi sempadan.

Penggantungan itu berlaku walaupun terdapat tiga pertemuan antara Kim Jong Un dan Presiden Selatan Moon Jae-in pada 2018.

Bagaimanapun, kedua-dua negara mengesahkan semua saluran komunikasi dipulihkan semalam.

Menurut perjanjian yang dibuat antara pemimpin tertinggi, kedua-dua negara mengambil langkah untuk mengaktifkan semula talian penghubung komunikasi antara Korea bermula jam 10 pagi pada 27 Julai," lapor agensi berita rasmi Korea Utara, KCNA.

Pejabat Presiden Korea Selatan dalam satu kenyataan memaklumkan Kim dan Moon mengirim surat kepada satu sama lain sejak April untuk memperbaiki hubungan dan setuju untuk memulihkan talian hotline sebagai langkah pertama.

"Kedua-dua pemimpin itu juga sepakat untuk mengembalikan kepercayaan antara kedua negara secepat mungkin dan terus maju dengan hubungan itu lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Julai 2021 @ 10:54 AM