Warga emas dan pengiring mereka menanti giliran untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 di Bangkok. FOTO AFP
Warga emas dan pengiring mereka menanti giliran untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 di Bangkok. FOTO AFP
BERNAMA

Bangkok: Pengarah Institut Vaksin Nasional (NVI), Dr Nakorn Premsri memohon maaf atas kelembapan pelaksanaan program vaksinasi dan bersedia mengadakan perbincangan dengan program Covax.

"Saya memohon maaf kepada semua. NVI sudah melakukan semua usaha namun, masih tidak mampu mendapatkan bekalan secukupnya untuk menampung keperluan dalam situasi luar jangka ini," katanya.

Katanya, varian Delta menjadi punca utama peningkatan mendadak kes jangkitan di Thailand sehingga menyebabkan gangguan kepada bekalan vaksin sedia ada.

Nakorn berkata, Thailand kini dalam proses untuk menyertai Covax dan dijangka menerima bekalan daripada inisiatif ini pada suku pertama tahun depan.

Malah, pihaknya juga merancang untuk mendapatkan vaksin generasi kedua yang lebih berkesan menentang varian lain pada suku pertama tahun depan.

Thailand merancang untuk mendapatkan 100 juta dos vaksin tahun ini termasuk 61 juta dos AstraZeneca yang dihasilkan di Thailand oleh Siam Bioscience, Sinovac (19.5 juta dos), Pfizer-BioNTech (20 juta dos) dan Johnson & Johnson (5 juta dos).

Dalam pada itu, Thailand melaporkan 13,655 kes baru Covid-19, satu lagi rekod baru dicatatkan dua hari berturut-turut menjadikan jumlah keseluruhan kes jangkitan kepada 453,132, setakat ini.

Dalam tempoh 24 jam, Thailand mencatatkan 87 kematian menjadikan jumlah kematian sebanyak 3,697 sejak virus ini mula dikesan Januari tahun lalu.

Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) dalam kenyataan berkata, daripada jumlah yang dicatatkan, 545 membabitkan banduan.

Sebanyak 11 kes import dikesan termasuk tiga dari Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Julai 2021 @ 6:51 PM