Penginapan pasukan Olimpik Brazil di Perkampungan Olimpik dan Paralimpik di Tokyo. Foto AFP
Penginapan pasukan Olimpik Brazil di Perkampungan Olimpik dan Paralimpik di Tokyo. Foto AFP
AFP

Tokyo: Sekurang-kurangnya lapan kakitangan di sebuah hotel yang menjadi tempat penginapan pasukan judo Brazil di Olimpik Tokyo disahkan positif Covid-19, kata pegawai tempatan.

Pegawai kesihatan dan sukan di Kota Hamamatsu di barat Tokyo, mengatakan ujian saringan terhadap kakitangan hotel terbabit dibuat sebelum pasukan terdiri 30 orang itu tiba pada Sabtu lalu.

Tidak ada individu yang dijangkiti itu bersentuhan dengan atlet, kata mereka.

Tokyo yang ketika ini sudah bersedia sebagai tuan rumah Olimpik mengambil langkah ketat terhadap atlet, pegawai dan wartawan.

"Hanya mereka yang mempunyai bukti ujian negatif akan bekerja dengan pasukan judo terbabit," kata Yoshinobu Sawada, seorang pegawai sukan di kota itu.

Ahli keluarga kepada seorang pekerja hotel yang dijangkiti juga disahkan positif Covid-19, kata pegawai Hamamatsu.

Bandar itu mencatatkan 1,149 kes pada hari Rabu, angka tertinggi sejak Januari lalu.

Sementara itu, seorang pegawai pasukan ragbi Rusia dimasukkan ke hospital selepas positif Covid-19, kata seorang pegawai di Munakata di barat Jepun kepada AFP.

Pasukan yang terdiri daripada 16 pemain dan 10 pegawai itu mendarat di lapangan terbang di Tokyo pada 10 Julai dan disahkan itu tidak mempunyai hubungan rapat dengan pegawai lain atau penduduk tempatan.

Rakan lain dalam pasukan itu turut dikuarantin di tempat penginapan mereka ketika ini dan jika diuji negatif Covid-19, mereka akan kembali menjalani latihan esok.

Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) pada semalam memaklumkan bahawa lebih 8,000 orang yang tiba antara 1 dan 13 Julai lalu dan hanya tiga kes dikesan positif Covid-19, mereka juga sudah diasingkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Julai 2021 @ 12:52 PM