PUSAT vaksinasi di Stesen Bang Sue di Bangkok, Thailand. FOTO EPA
PUSAT vaksinasi di Stesen Bang Sue di Bangkok, Thailand. FOTO EPA
BERNAMA

Bangkok: Thailand akan menawarkan booster (penggalak) Messenger RNA (mRNA) Pfizer-BioNTetch sebagai suntikan dos tambahan vaksin kepada petugas perubatan.

"Pfizer yang disumbangkan Amerika Syarikat akan diberikan kepada petugas perubatan dan pekerja kesihatan sebagai dos tambahan," kata penolong jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Dr Apisamai Srirangsan pada sidang media hari ini.

Petugas barisan hadapan dan pekerja kesihatan di negara ini kebanyakannya diberi vaksin Sinovac dari China, menurut beberapa pakar kesihatan mungkin kurang efektif terhadap varian Delta yang sedang menular.

Awal hari ini, Indonesia juga mengumumkan petugas perubatan barisan hadapan akan diberi suntikan booster menggunakan vaksin Mordena.

Sementara itu, wakil jurucakap Kementerian Luar Natapanu Nopakun berkata, mesyuarat CCSA yang dipengerusikan Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha hari ini meluluskan rancangan untuk mengagihkan 80 peratus bekalan vaksin pada Julai untuk penduduk di Metropolitan Bangkok (BMA).

Katanya, keutamaan akan diberikan kepada mereka yang berusia 60 tahun ke atas, dan yang menghidap tujuh penyakit tidak berjangkit.

"Ini untuk mengurangkan kematian dan kes yang serius. Statistik menunjukkan 75 peratus kematian dan kes kritikal membabitkan mereka dalam kalangan kumpulan ini," katanya.

Natapanu berkata, vaksin AstraZeneca yang disumbangkan Jepun dan vaksin Pfizer oleh Amerika Syarikat akan digunakan untuk warga berumur 60 tahun ke atas dan mereka yang mempunyai tujuh penyakit tidak berjangkit, warga asing melebihi 60 tahun, diplomat serta atlet yang bertanding di luar negara.

Dalam perkembangan lain, Prayuth memutuskan memotong gajinya selama tiga bulan bagi menyelamatkan dana belanjawan negara dalam memerangi pandemik itu, lapor Bangkok Post.

Laporan itu menyatakan Prayuth menerima 125,590 baht (RM16,206) sebulan, iaitu gaji berjumlah 75,900 baht (RM9,770) dan elaun sebanyak 50,000 baht (RM6,436).

Prayuth yang juga Menteri Pertahanan tidak mengambil gajinya untuk jawatan tersebut.

Seorang anggota kabinet dibenarkan menerima gaji dari satu jawatan sahaja, yang mana paling tinggi, kata laporan itu.

Sekurang-kurangnya 11 menteri kabinet berkata akan menyumbang gaji mereka.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Julai 2021 @ 10:33 PM