GAMBAR hiasan. FOTO AFP
GAMBAR hiasan. FOTO AFP
Agensi

New Delhi: Ribuan penduduk India menjadi mangsa penipuan vaksin palsu Covid-19 yang dipercayai menggunakan air garam.

CNN melaporkan doktor dan petugas kesihatan terbabit sudah ditahan untuk siasatan.

Jurucakap Polis Mumbai, Vishal Thakur berkata, sekurang-kurangnya ada 12 tempat vaksinasi palsu didirikan di Maharashtra dekat Mumbai.

"Mereka melakukan penipuan di setiap pusat vaksinasi palsu yang dibangunkan dan menyuntik mangsa dengan air garam," kata Thakur.

Menurut Thakur, kira-kira 2,500 individu disuntik dengan air garam, setakat ini.

Katanya, pengendali vaksinasi palsu turut memberi kadar tertentu untuk setiap suntikan.

"Jumlah keuntungan daripada penipuan itu mencecah AS$28,000 (kira-kira RM116,438).

"Kami sudah menangkap doktor terbabit. Mereka menggunakan hospital yang mengeluarkan sijil palsu, vial (bebuli) dan jarum suntikan," katanya.

Isnin lalu, CNN melaporkan 14 individu ditangkap kerana disyaki terbabit pemalsuan vaksin Covid-19.

Mereka yang ditahan didakwa melakukan penipuan, cubaan pembunuhan, konspirasi jenayah dan pertuduhan lain.

Thakur mengatakan, ada kemungkinan lebih ramai suspek terbabit kerana polis masih menjalankan siasatan berhubung kes berkenaan.

Dalam pada itu, News18 melaporkan penipuan vaksin Covid-19 itu, terjadi antara Mei hingga awal bulan lalu.

Pihak berkuasa mula menjalankan siasatan selepas beberapa mangsa meluahkan rasa curiga dengan sijil vaksinasi yang mereka terima.

"Tidak ada anggota kami yang mengalami gejala (Covid-19) dan kami juga harus membayar tunai.

"Ketika itu, kami mula curiga," kata seorang mangsa menceritakan pengalaman dilalui di salah satu pusat vaksinasi palsu di wilayah perumahannya.

India dilanda gelombang kedua pandemik Covid-19 antara April hingga awal bulan lalu.

Selepas kemuncak wabak pada Mei, jumlah kes harian menurun perlahan-lahan.

Bulan lalu, Perdana Menteri Narendra Modi mengumumkan vaksinasi berpusat.

Susulan itu, pemimpin pusat akan mengagihkan sebahagian besar dos vaksin ke negara lain secara percuma.

Sehingga kini, lebih 62 juta individu atau 4.5 peratus daripada jumlah populasi di India sudah divaksinasi penuh, menurut data Universiti Johns Hopkins.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Julai 2021 @ 7:15 AM