Seorang kakitangan memeriksa nombor giliran pelanggan yang mahu mendapatkan isian semula oksigen di Jakarta. - FOTO EPA
Seorang kakitangan memeriksa nombor giliran pelanggan yang mahu mendapatkan isian semula oksigen di Jakarta. - FOTO EPA
AFP

Jakarta: Indonesia kini terpaksa mendapatkan bekalan oksigen kecemasan dari Singapura selepas ia merekodkan jumlah kematian tertinggi hari ini.

Jakarta memberi amaran bahawa ia kini berdepan lonjakan kes jangkitan yang berpunca daripada varian Delta sehingga menyebabkan kes harian melebihi 50,000.

Hospital di Jakarta ini mencapai 90 peratus kapasiti manakala puluhan hospital di Surabaya kini sudah penuh dan tidak lagi menerima pesakit.

Seorang jurucakap hospital di Surabaya menyifatkan keadaan ICU di sana dipenuhi pesakit manakala, banyak doktor keletihan dan ada yang turut dijangkiti Covid-19.

"Hospital tidak lagi mempunyai ventilator untuk pesakit. ICU juga penuh.

"Ramai doktor keletihan dan kami terpaksa mendapatkan bantuan sukarelawan memandangkan banyak kakitangan hospital dijangkiti virus ini," katanya yang enggan dikenali.

Hampir 1,000 kakitangan perubatan Indonesia maut akibat Covid-19 termasuk 12 orang yang sudah menerima vaksin.

Keluarga yang terdesak juga mula mencari tangki oksigen untuk merawat ahli keluarga yang sakit di rumah.

Kerajaan Indonesia hari ini menyatakan bahawa ia kini sedang menanti 10,000 alat penjana oksigen yang akan dihantar dari Singapura.

Sebahagiannya sudah tiba melalui pesawat Hercules.

Kerajaan juga sedang berbincang dengan negara lain termasuk China untuk bantuan.

Jakarta mengarahkan semua bekalan oksigen dihantar ke hospital yang dipenuhi pesakit Covid-19.

"Pasukan kesihatan juga sedang bersedia untuk berdepan lonjakan sehingga 50,000 kes sehari, atau paling teruk sehingga 60,000 atau 70,000 kes sehari. Namun, kami berharap keadaan itu tidak berlaku," kata menteri kanan, Luhut Binsar Pandjaitan.

Pejabat, masjid, taman awam, pusat beli-belah dan restoran ditutup di seluruh pulau Jawa di bawah sekatan pergerakan yang bermula hujung minggu lalu.

Namun, terdapat perlanggaran arahan dilaporkan.

Pihak berkuasa di Semarang terpaksa menyembur air di kedai yang enggan menghentikan operasi manakala, Datuk Bandar Jakarta, Anies Baswedan mengarahkan untuk mengunci puluhan pejabat selepas terdapat majikan mengabaikan arahan kerja dari rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Julai 2021 @ 7:18 PM