GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
AFP

Sydney: Seorang pegawai kanan kesihatan menyifatkan program imunisasi Covid-19 di Australia umpama naskhah The Hunger Games, ketika negara itu bergelut dengan kekurangan bekalan vaksin ketika penularan wabak itu kembali meningkat.

Menteri Kesihatan New South Wales, Brad Hazzard berkata, kekurangan vaksin menyebabkan orang ramai berebut untuk mendapatkan vaksin dalam keadaan panik.

"Ia seperti The Hunger Games apabila orang ramai berebut untuk mendapatkan vaksin," katanya.

Beliau merujuk penduduk yang terdesak tampil ke pusat vaksinasi mega atau membuat panggilan telefon kepada fasiliti perubatan dengan harapan mendapatkan janji temu.

Filem dan novel The Hunger Games yang popular di seluruh dunia mengisahkan sekumpulan orang muda yang dipilih untuk terbabit dalam acara tahunan pertarungan sehingga mati.

Setakat ini, hanya tujuh peratus daripada keseluruhan 25 juta penduduk Australia menerima suntikan lengkap vaksin Covid-19, antara terendah untuk negara maju.

Kerajaan konservatif Australia bergantung hampir sepenuhnya terhadap vaksin AstraZeneca, dan sedang membangunkan vaksin sendiri namun gagal di peringkat ujian.

Ramai rakyat Australia menolak vaksin AstraZeneca yang ditawarkan yang ketika ini hanya disarankan untuk individu berusia 60 tahun ke atas sebaliknya mereka cuba mendapatkan janji temu untuk vaksin Pfizer.

Namun, nasib tidak memihak mereka berikutan usaha untuk mendapat lebih banyak bekalan vaksin Pfizer dan vaksin lain terhalang oleh keputusan lewat untuk tempahan serta bekalan global yang terhad.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Julai 2021 @ 6:35 AM