Prayuth Chan o-cha. FOTO AGENSI
Prayuth Chan o-cha. FOTO AGENSI
BERNAMA

Bangkok: Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan o-cha menjalani kuarantin kendiri selama seminggu selepas mempunyai kontak rapat dengan seorang ahli perniagaan yang disahkan positif Covid-19.

Prayut bertemu Pengerusi Dewan Perniagaan Surin, Veerasak Pisanuwong yang mengambil swafoto bersamanya ketika pembukaan Phuket 1 Julai lalu.

Veerasak dalam hantaran di Facebooknya menasihatkan sesiapa yang mempunyai kontak rapat dengannya untuk mengasingkan diri selepas dirinya disahkan positif Covid-19.

Jurucakap kerajaan, Anucha Burapachaisri berkata, Prayut yang sudah menerima dua dos vaksin AstraZeneca disahkan negatif virus itu selepas menjalani ujian pagi ini.

"Beliau akan meneruskan tugasnya seperti biasa," katanya dalam kenyataan.

Dalam tempoh 24 jam, Thailand melaporkan 6,166 kes jangkitan baru dan 50 kematian, menjadikan jumlah keseluruhan 289,233 kes dan 2,276 kematian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Julai 2021 @ 8:26 PM