ORANG ramai memakai pelitup muka di daerah pusat perniagaan di Brisbane. FOTO EPA
ORANG ramai memakai pelitup muka di daerah pusat perniagaan di Brisbane. FOTO EPA
AFP

Brisbane: Dianggarkan 10 juta warga Australia dikenakan sekatan pergerakan (lockdown) untuk susulan penularan Covid-19 di negara berkenaan.

Brisbane menjadi antara empat bandar utama yang dikenakan perintah duduk di rumah.

Sekatan pergerakan selama tiga hari di Brisbane ini bermula petang Selasa selepas arahan sama dikuatkuasakan di Sydney, Perth dan Darwin beberapa hari lalu.

"Ini adalah keputusan yang sukar," kata Ketua Menteri Queensland, Annastacia Palaszczuk, selepas Australia merekodkan 23 kes Covid-19 dalam tempoh 24 jam.

Katanya, sekatan itu terpaksa dibuat di bandar utama selepas ketibaan pengunjung luar negara yang 'membawa' virus itu.

Selain Brisbane, wilayah di persisiran pantai dan bandar kecil di utara iaitu Townsville juga dikenakan arahan sama selepas seorang petugas hospital yang belum divaksin mengembara ke Queensland dalam keadaan positif Covid-19.

Pada pagi Selasa, penduduk di Perth dikenakan lockdown secara mengejut selama empat hari selepas satu kluster tempatan Covid-19 merekodkan tiga kes.

Australia antara negara yang berjaya menyekat penularan kluster Covid-19, antaranya menerusi penutupan sempadan, kuarantin mandatori di hotel untuk pengembara dari luar negara dan lockdown secara mengejut.

Bagaimanapun, ia kini berdepan ancaman penularan varian Delta, yang pertama kali di kesan di India.

Pada masa sama, kemarahan rakyat dilaporkan meningkat kerana proses vaksinasi yang dianggap perlahan.

Dianggarkan, kurang lima peratus daripada orang dewasa di negara itu menerima sekurang-kurangnya dua dos vaksin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Jun 2021 @ 6:31 AM