GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Agensi

Pyongyang: Korea Utara secara terbuka membunuh sekurang-kurangnya 10 orang yang ditangkap kerana menggunakan rangkaian telefon bimbit China untuk berkomunikasi dengan pihak di negara luar, kata sebuah laporan.

Mirror UK melaporkan, pemimpin diktator Kim Jong-un melarang rakyat Korea Utara mengakses rangkaian mudah alih dari negara jiran China untuk menghentikan mereka daripada bercakap dengan pembelot dan mengakses maklumat luar yang berada di luar kawalan rejimnya.

Dikatakan, kira-kira 150 warga Korea Utara ditangkap selepas parti pemerintah dan polis melancarkan tindakan keras membabitkan pengawasan rahsia pada Mac lalu.

Satu sumber di Korea Utara mengatakan serbuan berlanjutan dan sebilangan pelaku dihukum di khalayak ramai sebagai pengajaran dan langkah pencegahan.

Itu dilaporkan oleh Daily NK Japan yang memetik sumber di wilayah Ryanggang bersempadan dengan China.

Penangkapan dilakukan ketika siasatan penyeludupan orang dan barang melepasi sempadan, broker pengiriman wang yang mengatur panggilan, pemindahan wang dan mereka yang mempunyai kaitan dengan pembelot di Korea Selatan.

Penduduk Korea Utara bergantung pada telefon seludup dan kad SIM untuk terus berhubungan dengan keluarga dan rakan, serta mendapatkan bantuan dari dunia luar.

Larangan selama empat tahun untuk mempunyai telefon bimbit dihapuskan pada 2008 dan rangkaian domestik tetap dikawal.

Sumber lain memberitahu, jumlah mereka yang ditahan meningkat sejak akhir Mei lalu, ketika negara itu berjuang dengan kekurangan makanan dan harga melambung tinggi.

Dianggarkan 150 orang ditangkap di empat wilayah bersempadan dengan China, dalam hanya dalam tiga minggu.

Pegawai keselamatan negeri bertugas mengesan isyarat telefon, alat pendawaian dan menangkap pengguna rangkaian telefon bimbit secara haram.

Ramai yang ditangkap kerana jenayah itu dihantar ke pusat indoktrinasi politik yang sesak sebagai hukuman, kata laporan itu.

Satu sumber berkata: "Pusat penahanan penuh dengan orang seperti kandang arnab. Orang duduk di sebelah tandas. Lawatan keluarga ditolak dan tahanan kehilangan harapan."

Tetapi 10 orang iaitu lima di daerah Taehongdan County di Ryanggang dan lima di wilayah Hamgyong Utara, dihukum di khalayak ramai, kata satu sumber.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Jun 2021 @ 6:30 AM