FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
BERNAMA

Beijing: China mengumumkan senarai kemas kini empat vaksin yang mendapat kelulusan untuk dieksport ke luar negara, di sini, pada Selasa.

Empat vaksin itu termasuk vaksin buatan China National Pharmaceutical Group Beijing (Sinopharm Beijing), Sinovac Biotech (SVA), CanSino Biologics dan China National Pharmaceutical Group Wuhan (Sinopharm Wuhan).

Daripada kesemua vaksin itu, dua daripadanya iaitu Sinopharm Beijing dan SVA telah disenaraikan sebagai vaksin penggunaan kecemasan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Dalam kemas kini itu turut dimaklumkan kesemua vaksin itu disuntik secara besar-besaran di negara ini, serta mendapat kelulusan untuk digunakan di lebih 100 negara di dunia.

Menurut Ketua Jabatan Perdagangan Luar, Kementerian Perdagangan China, Li Xingqian, ia menunjukkan hasrat China untuk menjadikan vaksin sebagai produk kesihatan awam global, selain memperkukuh kerjasama antarabangsa melawan wabak.

"China menyokong semua syarikat vaksin itu untuk meningkatkan bekalan vaksin kepada luar negara supaya pelbagai negara khususnya negara membangun dapat dibantu dalam memperoleh vaksin.

"Kami juga akan terus menghulurkan bantuan kepada pelbagai negara yang berhasrat untuk membeli vaksin buatan China," ujar Li.

Tambah beliau, China akan terus membantu syarikat vaksin China untuk merapatkan kerjasama dengan WHO untuk melaksanakan pelan Covax, serta menjalankan kerjasama penyelidikan dan pengeluaran vaksin dengan negara luar.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Jun 2021 @ 2:08 PM