TANGKAP layar rakaman kamera keselamatan menunjukkan wanita nyaris dihempap sofa yang dibuang jirannya melalui tingkap.
TANGKAP layar rakaman kamera keselamatan menunjukkan wanita nyaris dihempap sofa yang dibuang jirannya melalui tingkap.
Agensi

Istanbul: Bukan hanya tiada kesedaran sivik, bahkan seorang lelaki Turki yang menghuni flat di Uskudar di bandar raya ini hampir sahaja membunuh seorang jirannya.

Semuanya disebabkan tindakan dia mencampak keluar sofa lama daripada tingkap rumah disebabkan malas mahu membawa perabot itu turun dan buang di tempat yang betul.

Menurut laporan tempatan yang dipetik Daily Star, kejadian berlaku pada 9 Jun lalu selepas pemilik rumah dikenali Mesut Duran membeli sofa baharu.

Malah, rakaman kamera keselamatan bangunan memperlihat dengan jelas detik sofa 'terbang' dan hampir mendarat di atas jiran wanita Mesut yang ketika itu sedang berjalan keluar daripada bangunan berkenaan.

Wanita itu yang terkejut, turut dilihat memandang ke arah rumah Mesut dengan muka marah dan menunjukkan isyarat tangan, sebelum berlalu pergi.

Bercakap kepada portal berita DHA, Mesut berkata, "saya melihat dulu ke luar tingkap dan tiada siapa pun di hadapan bangunan. Jadi saya fikir selamat untuk buang sahaja sofa melalui tingkap.

"Jiran saya keluar ketika saya sedang campak sofa itu dan ia hampir terkenanya.

"Dia kelihatan takut dan saya juga terkejut melihat dia tiba-tiba keluar," katanya yang memberitahu dia bersyukur sofa itu tidak jatuh di atas jirannya kerana berkemungkinan boleh membunuh wanita itu.

Difahamkan, pengumpul barang buangan mengambil sofa terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Jun 2021 @ 5:07 PM