GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Agensi

New Delhi: Mengerikan apabila seorang remaja lelaki di India tergamak membunuh ibu bapa, kakak dan neneknya sebelum menanam mayat mangsa di bangsal dekat rumah mereka, empat bulan lalu.

India TV News melaporkan rahsia itu terbongkar selepas polis menemui mayat semua mangsa dekat sebuah rumah di Malda, Benggala Barat, Sabtu lalu

Susulan kejadian, suspek yang dikenal pasti sebagai Asif Mohammed, 19, bersama abang sulungnya, Arif ditahan untuk disoal siasat.

Ia bagi mengetahui motif di sebalik pembunuhan itu.

Arif yang tinggal jauh dari rumah Asif membuat laporan di balai polis Kaliachak pada Sabtu dan mengesyaki adiknya itu membunuh empat ahli keluarga sebelum menanam mayat mangsa.

Polis kemudiannya bergegas ke tempat kejadian dan menangkap Asif.

Difahamkan, polis menemui mayat mangsa selepas mengorek lantai bangsal berkenaan.

Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Kolej Perubatan Malda untuk dibedah siasat.

"Suspek mengaku bahawa dia yang membunuh keempat-empat mangsa pada akhir Februari.

"Dia mengaku sudah mencampurkan dadah di dalam minuman mereka dan membuatkan mangsa tidak sedarkan diri.

"Selepas itu, suspek menolak mangsa ke dalam telaga bagi memastikan mereka sudah tidak bernyawa.

"Mayat mangsa kemudian ditarik keluar dari telaga berkenaan sebelum dibawa ke bangsal dan ditanam di situ.

"Polis turut menyoal siasat Arif kerana kami tidak mahu ada maklumat tercicir," kata Alok Rajoria, Superintendan Polis Malda.

Ketika serbuan, polis menemui wang tunai 100,000 rupee (kira-kira RM5,583) di rumah suspek.

Seorang pegawai kanan menganggap mustahil bagi seorang remaja lelaki berusia 19 tahun dapat melakukan perbuatan itu.

Polis mengesyaki ada rakannya terbabit dalam kes berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Jun 2021 @ 6:30 AM