PHUKET. FOTO AFP
PHUKET. FOTO AFP
BERNAMA

Bangkok: Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha pada Rabu mengumumkan Thailand akan membuka semula negara kepada pelancong yang sudah lengkap mendapat vaksin pada pertengahan Oktober untuk menghidupkan kembali ekonominya yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Beliau berkata, pelancong yang sudah lengkap divaksin termasuk warga Thailand yang mahu pulang, akan dibenarkan masuk tanpa perlu menjalani kuarantin atau sekatan lain.

Prayuth mengakui keputusan itu mempunyai beberapa risiko kerana mungkin akan berlaku peningkatan jangkitan.

"Saya fikir ketika kita mempertimbangkan keperluan ekonomi rakyat, sudah tiba masanya untuk kita menjangkakan risikonya dan menetapkan tarikh membuka semula negara sepenuhnya dan mula menerima pelawat.

"Membuka kembali negara adalah antara cara penting untuk mengurangkan penderitaan mereka yang kehilangan pendapatan.

"Oleh itu, saya menetapkan matlamat untuk Thailand dibuka sepenuhnya dalam masa 120 hari lagi bermula hari ini (Rabu), dan pusat pelancongan boleh membuat persediaan awal," katanya ketika berucap pada malam Rabu.

Beliau menambah, sektor pekerjaan dan perniagaan serta pengangkutan domestik juga dapat beroperasi seperti biasa tanpa sekatan.

"Satu-satunya pengecualian terhadap garis panduan ini adalah jika berlaku suatu keadaan serius atau kemungkinan berlaku keadaan sedemikian, kami akan melihat perkara itu satu persatu mengikut kes," katanya.

Sejak April tahun lalu, Thailand mengenakan syarat kemasukan dan langkah kuarantin yang ketat untuk mengawal pandemik Covid-19.

Namun, pada pertengahan Disember tahun lalu, negara ini menyaksikan gelombang kedua pandemik dan sejak April tahun ini kerajaan bertungkus lumus membendung gelombang ketiga.

Sekatan perjalanan menyaksikan ketibaan pelancong ke negara ini susut kepada 6.7 juta tahun lalu berbanding hampir 40 juta pada 2019.

Prayuth berkata, pulau peranginan Phuket akan mula menerima pengunjung yang sudah lengkap divaksin mulai 1 Julai apabila sebahagian besar penduduk tempatan di destinasi pelancongan itu menerima vaksin masing-masing.

Di bawah "Phuket Sandbox", pelawat yang mahu mengunjungi Phuket tidak perlu menjalani kuarantin 14 hari, namun perlu berada di pulau itu selama dua minggu sebelum boleh melakukan perjalanan ke wilayah lain di negara itu.

Sehingga 15 Jun, sejumlah 6.78 juta orang menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin, sama ada Sinovac atau AstraZeneca di negara itu, termasuk 1.83 juta orang yang menerima dua dos vaksin COVID-19.

Thailand menyasarkan untuk menyuntik 70 peratus daripada 70 juta penduduknya bagi mencapai sasaran imuniti kelompok.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Jun 2021 @ 5:10 PM