ORANG ramai beratur untuk menerima suntikan dos vaksin Covid-19, Sinopharm di pusat pemberian vaksin di Rawalpindi. FOTO AFP
ORANG ramai beratur untuk menerima suntikan dos vaksin Covid-19, Sinopharm di pusat pemberian vaksin di Rawalpindi. FOTO AFP
AFP

Lahore: Wilayah Punjab di sini, akan menyekat akses telefon bimbit kepada individu yang enggan menerima vaksin Covid-19.

Langkah berkenaan diambil selepas wilayah Sindh mengeluarkan arahan bahawa kakitangan awam yang enggan menerima vaksin tidak akan diberi gaji bermula Julai ini.

Gelombang ketiga jangkitan Covid-19 di Pakistan mula perlahan selepas beberapa minggu sekatan pergerakan dilaksanakan dan di Punjab, wilayah paling ramai penduduk, sambutan terhadap suntikan Covid-19 dilihat semakin perlahan.

"Pada awalnya, ia hanya cadangan namun, melihatkan semakin ramai yang enggan menerima vaksin maka keputusan ini dibuat," kata Hammad Raza, jurucakap jabatan kesihatan Punjab.

Katanya, syarikat telekomunikasi akan menentukan kaedah bersesuaian untuk melaksanakan larangan berkenaan.

Pemberian vaksin di Pakistan meningkat beberapa minggu ini namun belum mencapai sasaran.

Namun, ia hanya meliputi sebahagian kecil daripada jumlah populasi yang mencecah 220 juta.

Kebimbangan terhadap kesan sampungan vaksin, ditambah dengan maklumat salah berkaitan ketidaksuburan dan kematian dalam tempoh dua tahun selepas suntikan menyebabkan keraguan terhadap vaksin berkenaan meningkat.

"Tahap pendidikan di Pakistan adalah rendah. Orang awam juga mengambil bahagian menyebarkan khabar angin dan maklumat salah berkaitan vaksin," kata Salman Haseeb, ketua Persatuan Doktor Muda Pakistan.

"Kempen maklumat berkaitan vaksin yang dijalankan kerajaan hanya berkesan untuk jangka masa pendek. Kerajaan perlu menggunakan undang-undang untuk memastikan semua orang mendapatkan vaksin," katanya.

Berdasarkan data yang diperoleh, sekitar 300,000 penerima dos pertama vaksin Covid-19 tidak hadir mendapatkan dos kedua.

Di bawah insentif baru ini, mereka yang sudah mendapatkan vaksin akan dibenarkan mengunjungi panggung wayang atau dewan acara manakala, sekatan ke atas perniagaan akan ditarik balik sekiranya lebih 20 peratus penduduk di lokasi berkenaan sudah menerima perlindungan.

Pakistan merekodkan lebih 940,000 jangkitan dengan 21,500 kematian namun, dengan saringan yang terhad serta kekurangan sumber dalam sektor kesihatan, angka sebenar mungkin lebih tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Jun 2021 @ 6:30 AM