ANGGOTA pembinaan membaiki semula bangunan yang rosak. FOTO AFP
ANGGOTA pembinaan membaiki semula bangunan yang rosak. FOTO AFP
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Sebahagian besar kawasan di Gaza, Palestin dalam proses pemulihan dan ketika ini pihak berkuasa tempatan negara itu mula mengalihkan sisa runtuhan serta membersihkan kawasan yang musnah akibat serangan Israel bulan lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Cinta Gaza Malaysia (CGM) Nadir Al Nuri Kamarulzaman berkata, bantuan dari negara luar seperti Amerika Syarikat dan Kanada juga sudah mula diterima bagi tujuan pembinaan semula bangunan serta kawasan terjejas.

"Bantuan dari negara luar lebih tertumpu kepada usaha membina semula bangunan serta penempatan yang terjejas teruk.

"Untuk ini, ada beberapa negara sudah menyatakan komitmen bantuan dalam skala besar yang kita harapkan dalam jangka masa panjang," katanya kepada Harian Metro.

Nadir berkata, CGM menumpukan kepada bantuan skala kecil termasuk membaiki rumah yang rosak, bantuan kepada anak yatim, ibu tunggal serta keperluan asas.

Beliau berkata, ia termasuk bantuan perubatan dan barangan am hasil sumbangan diterima banyak pihak.

Dalam pada itu, beliau berkata, kawasan perkampungan Sheikh Al Jarrah dan sekitar kompleks Masjidil Aqsa di Palestin masih menjadi sasaran rejim zionis yang berterusan melakukan provokasi ke atas penduduk di lokasi berkenaan.

Katanya, peranan dimainkan badan bukan kerajaan (NGO) khususnya dari Malaysia sangat penting bukan saja dari sudut bantuan, tetapi solidariti ke atas isu Palestin dari semasa ke semasa.

"Hampir setiap hari ada perkongsian bersama rakan-rakan NGO di Malaysia. Saya juga ucapkan terima kasih kepada media yang dilihat terus menyampaikan maklumat terkini mengenai nasib umat Islam khususnya di Gaza," katanya.

Mereka yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian menerusi akaun CGM 564810507826 (Maybank).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Jun 2021 @ 3:48 PM