KAPAL kontena di Sri Lanka yang terbakar membawa 25 tan asid nitrik dan bahan kimia serta komestik yang tidak ditentukan adalah kapal yang didaftarkan di Singapura. FOTO AFP
KAPAL kontena di Sri Lanka yang terbakar membawa 25 tan asid nitrik dan bahan kimia serta komestik yang tidak ditentukan adalah kapal yang didaftarkan di Singapura. FOTO AFP
AFP

Colombo: Pihak berkuasa Sri Lanka berhempas-pulas mengawal kebakaran yang sudah berlarutan selama seminggu dalam kapal kontena dipenuhi bahan kimia bagi mengelakkan kemungkinan berlakunya pencemaran marin.

Kapal yang didaftarkan di Singapura itu, membawa 25 tan asid nitrik dan bahan kimia serta komestik yang tidak ditentukan, kata tentera laut.

Lapan daripada hampir 1,500 kontena terbalik pada Selasa lalu, di mana satu daripadanya terdampar di pantai Negombo kira-kira 40 kilometer dari Colombo.

Angin kuat yang dikaitkan dengan taufan membadai India menyukarkan usaha berkenaan di saat asap tebal keluar dari MV X-Press Pearl.

Tentera udara Sri Lanka menggunakan helikopter untuk menurunkan 425 kilogram bahan kimia bagi memadamkan api pada kapal berkenaan hari ini.

Jurucakap Pihak Berkuasa Perlindungan Alam Marin, Dharshani Lahandapura berkata, langkah-langkah pembendungan sedang disiapkan sekiranya berlaku tumpahan kimia atau bahan api dari mesin dan tangki kapal.

"Pemodelan komputer menunjukkan tumpahan dari kapal akan sampai ke pantai Negombo dan kami sedia mengatasinya.

"Memandangkan tiupan angin monsun, kami menumpukan perhatian di kawasan ini dan akan memindahkan peralatan untuk menangani tumpahan," katanya kepada wartawan di Colombo.

Jurucakap tentera laut, Kapten Indika de Silva berkata, 25 kru kapal telah dipindahkan dengan selamat namun, seorang telah dimasukkan ke hospital kerana cedera ringan.

Kapal kontena itu dalam perjalanan ke Colombo dari Gujarat di India ketika kebakaran meletus di dek pada 20 Mei lalu sekitar 14 kilometer (7.5 batu nautika) dari pesisir pantai.

Penduduk di Negombo dilihat membersihkan plastik yang terdampar di pantai pada pagi Rabu.

Kapal tunda dan tentera laut mengetuai usaha memadamkan api dan tiga kapal pengawal pantai India dijangka membantu usaha berkenaan.

India telah menghantar kapal dan pesawat lain pada Selasa untuk menilai kerosakan dan menyelaraskan usaha memadam kebakaran, kata tentera laut Sri Lanka.

Pada September, sebuah kapal tangki membawa minyak mentah terbakar di pantai timur Sri Lanka selepas berlaku letupan di bilik enjin yang mengorbankan seorang anak kapal.

Kebakaran itu dipadamkan selepas lebih seminggu dengan bantuan pengawal pantai India.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Mei 2021 @ 8:43 PM