Pesakit Covid-19 yang dijangkiti kulat hitam dirawat di hospital. FOTO AFP
Pesakit Covid-19 yang dijangkiti kulat hitam dirawat di hospital. FOTO AFP
Agensi

New Delhi: Lebih 7,000 orang di seluruh India dijangkiti kulat hitam yang dikaitkan dengan mutasi Covid-19.

Sekurang-kurangnya 60 peratus daripada mereka yang dirawat di hospital terpaksa membuang sebelah mata mereka akibat jangkitan berkenaan.

Keadaan penyakit jarang jumpa itu berpunca daripada kulat dikenali sebagai mucromycetes yang boleh mengancam nyawa mereka yang mempunyai sistem imun lemah.

Apabila spora yang muncul secara semula jadi dalam persekitaran dan disedut melalui pernafasan, ia boleh menyerang paru-paru dan sinus sebelum merebak ke muka dan otak.

Pesakit, Anil Wankhede, 54, mengalami pening kepala dan mata kanannya membengkak selepas keluar dari hospital.

Katanya, dia tidak mendapatkan rawatan lanjut kerana adiknya, Mahendra sudah membayar bil rawatan terdahulu.

"Saya tidak mahu menyusahkan adik saya lagi dengan masalah baru. Dia dah buat macam-macam untuk saya," katanya kepada The Times.

Katanya, selepas 10 hari dijangkiti kulat itu, dia dimaklumkan doktor mata kanan dan sinusnya perlu dibuang.

Dr Nair berkata, jika pembedahan membuang mata dan sinus yang dijangkiti kulat itu tidak dilakukan, jangkitan akan merebak ke otak.

"Bila sampai tahap itu, kita tak boleh selamatkan nyawa mereka lagi," katanya seperti dipetik portal The Sun.

India sedang berusaha mengatasi kekurangan perubatan yang digunakan untuk merawat jangkitan kulat di tengah-tengah krisis sistem penjagaan kesihatan mereka meruncing akibat gelombang baharu Covid-19.

Media tempatan melaporkan, sekurang-kurangnya 7,250 kes jangkitan kulat hitam dikesan di seluruh negara itu setakat 19 Mei lalu.

Menteri Kesihatan India berkata, pihaknya sedang berusaha mencari lebih banyak syarikat untuk mengeluarkan ubat antikulat, amphotericin B serta meningkatkan produk import.

Ia akan membabitkan hampir 250 peratus peningkatan bekalan kepada 570,000 botol pada Jun.

India melakukan kira-kira dua juta ujian pada hari Khamis, tetapi pakar berpendapat jangkitan dan kematian mungkin antara lima hingga 10 kali lebih tinggi daripada anggaran rasmi.

23hmkulat: Pesakit Covid-19 yang dijangkiti kulat hitam dirawat di hospital. FOTO AFP

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Mei 2021 @ 10:28 AM