PESAKIT Covid-19 dengan jangkitan ‘kulat hitam’ menerima rawatan di sebuah hospital di Jabalpur. FOTO AFP
PESAKIT Covid-19 dengan jangkitan ‘kulat hitam’ menerima rawatan di sebuah hospital di Jabalpur. FOTO AFP
AFP

New Delhi: Negeri-negeri di India mengumumkan langkah kecemasan pada Khamis untuk menangani jangkitan 'kulat hitam' dalam kalangan pesakit Covid-19.

Dua negeri mengumumkan epidemik mukormikosis, manakala New Delhi dan bandar utama lain sudah membuka wad khas untuk merawat ribuan kes jangkitan yang dikenali masyarakat sebagai 'kulat hitam'.

India lazimnya merekodkan 20 kes jangkitan itu setiap tahun, tetapi jangkitan berkenaan menjadi ancaman baharu ketika penularan gelombang kedua Covid-19 di negara itu.

Covid-19 sudah membunuh lebih 120,000 orang dalam tempoh enam minggu lalu.

Jangkitan kulat itu, yang dikatakan doktor berpunca daripada penggunaan steroid yang tinggi untuk rawatan Covid-19, membunuh lebih 50 peratus daripada individu yang mengalaminya dalam tempoh beberapa hari.

Dalam sesetengah kes, pakar bedah terpaksa membuang mata dan rahang atas untuk menyelamatkan nyawa pesakit.

Pihak berkuasa tidak menyatakan bilangan individu yang meninggal dunia akibat jangkitan 'kulat hitam'.

Tetapi, kerajaan sudah memberitahu kepada pihak berkuasa negeri untuk bersedia untuk pembedahan rekonstruksi dan pembedahan lain seperti telinga, hidung dan tekak kerana peningkatan kes jangkitan jenis itu.

Gujarat dan Telangana menjadi negeri terbaru yang mengisytiharkan epidemik 'kulat hitam', sehari selepas Rajasthan mengumumkan perkara sama.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Mei 2021 @ 12:05 PM