ORANG ramai meredah jalan yang dinaiki air akibat hujan lebat di Mumbai dan kawasan sekitarnya susulan Siklon Tauktae. FOTO EPA
ORANG ramai meredah jalan yang dinaiki air akibat hujan lebat di Mumbai dan kawasan sekitarnya susulan Siklon Tauktae. FOTO EPA
AFP

Mahuva: Sekurang-kurangnya 21 orang maut, manakala 96 lagi dilaporkan hilang selepas Siklon Tauktae membadai barat India.

Taufan itu menyaksikan angin kencang dengan kelajuan 185 kilometer sejam, menyebabkan pokok tercabut dari akarnya, memusnahkan tiang bekalan elektrik dan menara telekomunikasi.

Selain itu, sebuah kapal untuk ke pelantar minyak turut karam selepas dibadai taufan itu di luar persisiran pantai di Mumbai.

Ia menyebabkan 96 daripada 273 penumpangnya dilaporkan hilang, lapor tentera laut India pada Selasa.

Menurut tentera laut, 177 orang diselamatkan dari kapal berkenaan dan misi mencari dan menyelamat diteruskan dalam keadaan yang amat mencabar.

Dalam pada itu, meskipun ia adalah antara taufan terburuk yang melanda negara itu dalam tempoh beberapa dekad, ramalan awal membolehkan lebih 200,000 penduduk di kawasan yang berisiko tinggi dipindahkan lebih awal.

Pihak berkuasa Mumbai juga pada Isnin menutup operasi lapangan terbang untuk beberapa jam dan meminta penduduk supaya berada di rumah.

Taufan ini dijangka akan menyebabkan hujan lebat di kawasan sehingga Delhi, atau kira-kira 1,200 kilometer (km) dari pantai Gujarat sehingga ke Uttarakhand di pergunungan Himalaya di sempadan Tibet.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Mei 2021 @ 2:41 PM