ASAP daripada kebakaran selepas serangan udara Israel di Gaza City. FOTO EPA
ASAP daripada kebakaran selepas serangan udara Israel di Gaza City. FOTO EPA
AFP

Gaza City: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan mengadakan mesyuarat tergempar pada hari ini bagi membincangkan mengenai situasi di Semenanjung Gaza.

Ia kali keempat selepas tiga pertemuan terdahulu menyaksikan Amerika Syarikat (AS) yang juga sekutu kepada Israel menghalang usaha majlis itu untuk mengeluarkan kenyataan bersama.

Israel mula melancarkan kempen serangan udaranya di Semenanjung Gaza pada 10 Mei lalu.

Setakat ini, lebih 212 rakyat Palestin maut dalam serangan udara rejim zionis di Semenanjung Gaza, termasuk 61 kanak-kanak, manakala lebih 1,400 orang lagi cedera.

Di pihak Israel, 10 orang maut, termasuk seorang kanak-kanak dengan ratusan lain cedera, menurut angka rasmi dikeluarkan oleh kedua-dua pihak.

Dalam pada itu, ketika desakan banyak pihak untuk pertempuran itu dihentikan, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu pada Isnin dilaporkan berkata, pihaknya akan meneruskan serangan.

Sementara itu, Presiden AS, Joe Biden, yang menolak gesaan daripada ahli partinya, Parti Demokratik untuk menamatkan pertempuran itu memberitahu Netanyahu pada Isnin bahawa pihaknya menyokong gencatan senjata, namun tidak menyatakan mengenai perdamaian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Mei 2021 @ 1:31 PM