RAO bersama kain rentang mengajak orang ramai menukar nama Covid-19 untuk menghapuskan wabak.
RAO bersama kain rentang mengajak orang ramai menukar nama Covid-19 untuk menghapuskan wabak.
Agensi

Hyderabad: Ketika saintis di seluruh dunia berhempas pulas mencari penawar berkesan untuk Covid-19, seorang jurutrengkas India tampil dengan cadangan pelik sebagai penyembuh wabak itu.

SV Annandd Rao dari Ananthpuram di Andhra Pradesh percaya pandemik yang berlarutan dua tahun ini dapat disembuhkan hanya dengan memperbetulkan ejaan yang 'salah'.

Rao mendakwa kiraan dibuat terhadap perkataan 'Corona' mendapati ia menyumbang kepada nombor yang membahayakan, boleh melumpuhkan seluruh dunia.

Namun jika ia ditukar kepada sesuatu yang lebih baik dan menambah huruf, semuanya akan pulih, katanya dipetik Times of India.

"Jika kita mengeja dengan huruf 'kekuasaan yang esa', ia akan mewujudkan aura yang membawa kepada hilangnya virus sepenuhnya. Jadi manfaat itu boleh dicapai dengan menukar ejaan Covid-19 kepada 'Covviyd-19'," katanya.

Rao yang mempraktikkan numerologi turut menambah huruf 'n' dan 'd' dalam namanya sebagai tuah, menggantung kain rentang dan meminta masyarakat menukar ejaan Covid-19 bagi menghapuskan pandemik itu.

Cadangan lelaki itu yang tular di media sosial mengundang pelbagai reaksi antaranya, "mari menukar nama semua ahli politik dan tengok sama ada ia beri tuah kepada negara kita."

Seorang lagi pengguna Twitter memberi komen mempersenda Rao "Anda akan menjumpai pelawak di mana-mana sekarang."

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Mei 2021 @ 6:50 AM