SUKARELAWAN memakai kostum Dewa Yamraj memberi kesedaran awam untuk mengikuti protokol keselamatan Covid-19 kepada orang ramai di Siliguri. FOTO AFP
SUKARELAWAN memakai kostum Dewa Yamraj memberi kesedaran awam untuk mengikuti protokol keselamatan Covid-19 kepada orang ramai di Siliguri. FOTO AFP
Agensi

Mumbai: Bagi jurutera mekanikal berusia 35 tahun ini, melawan Covid-19 ketika penularannya semakin berleluasa di India sudah amat menyakitkan.

Kini, Milind Deshmukh dari Thane, pinggir bandar Mumbai terpaksa pula bergelut dengan jangkitan kulat dikenali Mucormycosis, yang sudah memakan sebahagian besar tisu mukanya termasuk mata kanan dan lelangit.

"Dia sudah menjalani tiga pembedahan, buta sebelah mata dan mungkin sukar bercakap dan makan selepas lelangit dibuang. Ia sangat memilukan," kata abang Deshmukh, Makarand kepada Al Jazeera.

Doktor di India mengesan peningkatan mendadak kes jangkitan kulat dan sukar dirawat, akhir-akhir ini.

Pakar bedah telinga, hidung, tekak (ENT) Global Hospital, Mumbai, Dr Milind Navalakhe menyifatkan ia 'situasi membahayakan'.

Kes Mucormycosis bukanlah asing di negara itu, namun ketika ini berlaku peningkatan jangkitan membabitkan pesakit Covid-19 dan mereka yang pulih daripada wabak terbabit.

"Sekarang saya menerima 25 kes Mucormycosis seminggu, semuanya pesakit Covid-19 yang masih dirawat atau sudah pulih," katanya yang melakukan pembedahan lelangit ke atas Deshmukh.

Setakat ini, negeri selatan India, Maharashtra merekodkan 2,000 kes dan lapan kematian akibat Mucormycosis.

Susulan itu, Menteri Kesihatan negeri Rajesh Tope mengumumkan pembukaan wad khas bagi merawat jangkitan kulat.

Mucormycosis atau kulat hitam hidup dalam persekitaran terutama tanah dan bahan organik seperti daun kering, timbunan kompos atau kayu reput, menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit.

Seseorang yang tersedut spora kulat itu cenderung mengalami jangkitan di paru-paru dan sinus.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Mei 2021 @ 5:03 PM