Agensi

Jawa Tengah: Empat individu maut selepas dipercayai menghasilkan mercun buatan sendiri sambil merokok.

Kejadian yang berlaku di Desa Ngabean, Kebumen di sini berlaku pada hari terakhir Ramadan, Rabu lalu.

Hasil siasatan polis dan keterangan saksi, letupan berlaku ketika tujuh lelaki memproses mercun di kediaman seorang daripada mereka.

Ketua Polis Kabumen, Piter Yanottama berkata, ketika memasukkan serbuk mercun, sebahagian daripada mereka melakukan kerja berkenaan sambil merokok.

"Serbuk mercun yang meletup dipercayai sekitar dua hingga tiga kilogram dan impak letupan itu menyebabkan mercun yang ada di lokasi tercampak sejauh 12 meter.

"Malah, terdapat kira-kira 400 selongsong mercun yang belum terisi dijumpai dalam karung," katanya seperti dilaporkan Kompas.

Sementara itu, bapa seorang mangsa berkata, dia pernah menegur dan melarang anaknya memproses mercun berkenaan namun tidak diendahkan.

Katanya, dia tidak dapat mengenali wajah anaknya yang maut dalam kejadian itu kerana kecederaan terlalu parah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Mei 2021 @ 9:00 PM