Mao Mao.
Mao Mao.
Agensi

China: Mao Mao adalah kucing baka British Short Hair berusia dua tahun dari Chongqing, China yang menjadi model kereta.

Ia mampu menjana pendapatan antara 5,000 yuan (RM3,182) hingga 10,000 yuan (RM6,365) setiap penampilannya sebagai model kucing profesional.

Oddity Central melaporkan bakat Mao Mao dikatakan ditemui secara tidak sengaja oleh pemiliknya seorang lelaki bernama Zheng yang bekerja dalam industri automotif.

Ketika mengadakan pameran, Zheng memberi idea untuk meletakkan kucing miliknya itu di dalam salah sebuah kenderaan.

Tindakannya itu segera menarik perhatian orang ramai yang tidak sabar merakamkan gambar si comel itu dan memuat naik ke laman media sosial masing-masing.

Ini secara tidak langsung memberi pendedahan kepada jenama kereta itu dan Zheng mula mempromosikan Mao Mao sebagai model kucing kepada jenama kereta yang mahukan perhatian.

Kini Mao Mao menjadi model kereta dan mempunyai beberapa kali penampilan setiap bulan.

Jadi apa yang diperlukan untuk menjadi model kucing profesional untuk kereta? Seperti mana manusia, kucing perlu kelihatan comel dan menarik perhatian.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Mei 2021 @ 6:30 AM