ROKET Long March 5B. FOTO STR / AFP/ China OUT
ROKET Long March 5B. FOTO STR / AFP/ China OUT
AFP

Beijing: China hari ini menjelaskan risiko kerosakan daripada serpihan roket yang jatuh ke bumi adalah 'sangat rendah', selepas Amerika Syarikat (AS) memberi amaran ia boleh jatuh ke kawasan didiami orang awam.

Pakar ketenteraan di AS menjangkakan badan roket Long March 5B, yang terpisah dari stesen angkasa Beijing, akan jatuh antara Sabtu atau Ahad, tetapi mengingatkan sukar untuk meramalkan lokasi dan masa pendaratannya.

Bagaimanapun, Beijing merendahkan risiko bahaya.

Jurucakap Kementerian Luar, Wang Wenbin berkata, kebarangkalian menyebabkan bahaya kepada aktiviti penerbangan atau kepada orang dan aktiviti di lapangan sangat rendah.

Katanya, sebahagian besar komponen roket akan hancur selepas masuk semula ke atmosfera, selain pihak berkuasa 'akan memaklumkan orang ramai mengenai keadaan itu pada masanya'.

China membelanjakan berbilion dolar untuk penjelajahan ruang angkasa dalam usaha mencerminkan peningkatan global dan kekuatan teknologinya yang semakin meningkat, mengikut jejak penerokaan ke luar bumi oleh AS, Rusia dan Eropah.

Ketika spekulasi mengenai lintasan roket kembali ke bumi tersebar di media sosial, Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd Austin, semalam berkata, tentera AS tidak mempunyai rancangan untuk menembaknya.

"Kami ada kemampuan melakukan banyak perkara, tetapi tidak mempunyai rancangan untuk menjatuhkannya," kata Austin kepada wartawan.

Beliau mengusulkan bahawa China lalai dan membiarkan badan roket itu jatuh dari orbit, selain menjelaskan pihak di dalam 'domain angkasa' perlu 'beroperasi secara aman dan bijaksana'.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Mei 2021 @ 6:32 PM