JACINDA Ardern. FOTO fail AFP
JACINDA Ardern. FOTO fail AFP
Agensi

Auckland: Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern merancang untuk berkahwin dengan teman lelakinya pada musim panas ini, lapor media tempatan pada Rabu.

Ardern memberitahu stesen radio, Coast bahawa beliau dan pasangannya, pengacara televisyen, Clarke Gayford sudah mendapat kata putus mengenai tarikh untuk majlis itu.

"Ini tidak bermakna kami sudah memberitahu orang lain, jadi saya rasa kita patut untuk mengedarkan jemputan," katanya seperti dilaporkan NDTV yang memetik laporan New Zealand Herald.

Ardern, 40, bertunang dengan Gayford, 44, ketika cuti Easter pada 2019 dan pasangan itu mempunyai anak perempuan yang kini berusia dua tahun.

Majlis perkahwinan itu dirancang pada musim panas yang lazimnya antara Disember hingga Februari di hemisfera selatan.

Bagaimanapun, Adern menerusi laporan tempatan berkata, beliau 'terlalu tua untuk mengadakan majlis meraikan bakal pengantin'.

Ardern adalah perdana menteri paling muda New Zealand apabila dilantik ke jawatan nombor satu negara itu pada 2017.

Beliau juga satu-satunya pemimpin dunia yang melahirkan anak ketika menjawat jawatan perdana menteri selepas Perdana Menteri Pakistan Benazir Bhutto pada 1990.

Partinya, Parti Buruh menang besar pada pilihan raya Oktober lalu yang antaranya disumbangkan menerusi kejayaan kerajaan untuk mengekang Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Mei 2021 @ 1:22 PM