FOTO AFP
FOTO AFP
Agensi

New Delhi: Ada rakyat India kini semakin terdesak apabila menggunakan perkhidmatan bomoh kononnya bagi menyingkirkan 'roh jahat' Covid-19.

Terbaharu mereka menggunakan perkhidmatan bomoh yang menawarkan khidmat penyingkiran 'roh jahat' Covid-19 menggunakan besi panas yang ditekap pada bahagian tubuh mereka.

Pakar perubatan bimbang bahawa kepercayaan berkenaan akan mempengaruhi orang ramai sekali gus meningkatkan penularan Covid-19 akibat 'rawatan' yang salah.

Doktor di Maharashtra, Ashita Rebecca Singh mendedahkan ramai penduduk sanggup mengambil rawatan menyakitkan itu berikutan mereka percaya Covid-19 adalah 'roh jahat.'

Katanya, ramai orang di daerah dia bertugas itu menggunakan perubatan tradisional berkenaan sebelum mendapatkan rawatan yang betul di pusat perubatan bertauliah.

"Kami masih mempunyai ramai pesakit di wad yang bertanda cap besi di perut mereka selepas mendapatkan rawatan tradisional dengan bomoh.

"Banyak masa terbuang dan mereka yang datang sudah terlambat diubati, semakin parah dan ramai antaranya tidak pernah langsung ke hospital mendapatkan rawatan," katanya kepada Radio 4 BBC seperti dipetik The Sun.

India semalam kali pertama merekodkan lebih 400,000 kes baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam.

Ia adalah angka tertinggi untuk mana-mana negara sejak penularan pandemik itu.

Menurut Kementerian Kesihatan India, 401,993 kes baharu itu menjadikan kes keseluruhan Covid-19 di negara berkenaan kepada 19.1 juta.

Sebanyak 3,523 kematian direkodkan menjadikan jumlah keseluruhan kematian kepada 211,853.

Banyak pakar berpendapat, kekurangan ujian saringan dan rekod tidak lengkap mengenai punca kematian menyebabkan angka sebenar lebih tinggi.

Pihak berkuasa sebelum ini memberi banyak kelonggaran sejak awal tahun selepas kes baharu harian direkodkan di bawah 10,000 sehari.

Ia termasuk membenarkan upacara keagamaan Kumbh Mela yang menarik kunjungan jutaan orang dan kempen politik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Mei 2021 @ 6:31 AM