FOTO AFP
FOTO AFP
Agensi

Bangkok: Thailand berdepan tekanan apabila kini berdepan masalah kekurangan katil hospital selepas peningkatan mendadak kes jangkitan Covid-19 dengan lebih 34,000 penduduk dijangkiti wabak itu bulan ini.

Semalam, Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) melaporkan 1,871 kes baharu dengan 10 kematian.

Walaupun kes harian mula menurun bawah angka 2,000 buat pertama kalinya dalam tempoh enam hari, hospital masih sesak dengan pesakit Covid-19 yang berdepan komplikasi serius.

Data daripada Kementerian Kesihatan Awam menunjukkan peningkatan jumlah pesakit yang memerlukan intubasi dan menderita radang paru-paru atau keradangan tisu paru-paru.

Ia boleh mengakibatkan kegagalan untuk bernafas dan meningkatkan risiko kematian.

Semalam, angka pesakit dengan komplikasi berkenaan melebihi 1,000 orang.

Peningkatan jangkitan baharu turut memaksa kerajaan membuka beberapa hospital lapangan dan hospital hotel di seluruh negara.

Setakat ini, terdapat 10,000 katil yang masih kosong dan dikhaskan untuk pesakit Covid-19.

Bagaimanapun, fasiliti ini hanya disediakan untuk pesakit tanpa gejala atau mengalami simptom ringan.

Sementara individu dengan simptom sederhana atau serius perlu dirawat di hospital.

Menurut Jabatan Perkhidmatan Perubatan, terdapat 44,560 katil hospital di seluruh Thailand.

Sehingga Selasa lalu, sebanyak 22,865 katil masih kosong.

Timbalan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Perubatan, Nattapong Wongwiwat, pada sidang media Selasa lalu berkata, bilik pengasingan kebanyakannya diduduki pesakit dengan komplikasi dan memerlukan intubasi.

Katanya, bilik jenis berkenaan menempatkan 70 hingga 80 peratus pesakit setakat ini.

"Kita sekarang berada dalam situasi membimbangkan kerana tidak ada ruang yang banyak untuk menempatkan pesakit baharu.

"Kami tidak boleh menempatkan semua pesakit mengikut kapasiti yang ada dan kerana itu ia perlu disusun supaya masih terdapat katil yang kosong," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Mei 2021 @ 6:30 AM