FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Agensi

Auckland: Kecekapan New Zealand menangani Covid-19 dibuktikan menerusi penganjuran konsert terbesar di dunia dihadiri 50,000 penonton di stadium sukan terbesar di negara itu.

Portal Independent melaporkan penonton juga tidak diwajibkan memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal ketika konsert band rock, Six60 berlangsung di Eden Park di sini.

Konsert itu dilihat sebagai bukti kejayaan pihak berkuasa dalam menangani penularan Covid-19 di New Zealand.

Dengan menutup sempadannya dan meningkatkan ujian saringan dan pengesanan kontak, negara ini berjaya membuahkan hasil apabila mencatatkan sifar kes Covid-19.

Sejak wabak itu bermula, New Zealand hanya mencatat 2,601 kes dengan 26 kematian.

Konsert ini sangat berbeza dengan sebahagian besar di negara lain di mana sekatan pergerakan diteruskan dan lonjakan kes baharu berterusan.

"Kami menunjukkan kepada dunia minggu ini di tengah-tengah pandemik global, kita dapat hidup secara normal di Auckland," kata Datuk Bandar Phil Goff dalam satu kenyataan.

Lucy Clumpas menghadiri konsert itu dan mengatakan ia adalah pengalaman yang luar biasa untuk dikelilingi oleh begitu ramai orang.

Katanya, ia selepas menghabiskan tahun lalu dengan menjalani sekatan pergerakan di Britain.

"Sangat penting bagi kita sebagai manusia untuk dapat berkumpul dan menyanyikan lagu yang sama.

"Ini membuat kita merasa seperti kita adalah sebahagian dari sesuatu," katanya.

Penyanyi utama band itu, Matiu Walters bersyukur apabila diberi kesempatan mengadakan persembahan itu.

"Kami tahu bagaimana rasanya berada dalam penjara.

"Dan, kami tidak tahu sama ada bila kami dapat mengadakan persembahan lagi... tetapi kami bernasib baik kerana beberapa sebab iaitu kami berada di sini (New Zealand)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 April 2021 @ 6:46 AM