PRAYUTH Chan-ocha, gambar fail. FOTO EPA
PRAYUTH Chan-ocha, gambar fail. FOTO EPA
BERNAMA

Bangkok: Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan o-cha adalah antara yang awal didenda kerana tidak memakai pelitup muka hari ini, yakni hari pertama pihak berkuasa di ibu negara Thailand mewajibkan orang ramai memakai pelitup muka di kawasan awam.

Prayuth yang juga Menteri Pertahanan didenda 6,000 baht (RM782) kerana melanggar peraturan semasa mesyuarat Rumah Kerajaan, pagi hari ini.

Sekeping gambar Prayuth tanpa memakai pelitup muka semasa mempengerusikan mesyuarat disebar meluas di media sosial awal hari ini.

Gambar yang dimuatkan di Facebook rasmi Prayuth itu bagaimanapun telah dipadam kemudiannya.

Gabenor Bangkok Aswin Kwanmuang dalam laman rasmi Facebooknya berkata, beliau menfailkan aduan terhadap perdana menteri hari ini.

Aswin berkata, perdana menteri diberitahu bahawa beliau melanggar peraturan yang mewajibkan pemakaian pelitup muka, semasa di luar kediaman.

"Beliau (Prayuth) dikenakan denda 6,000 baht… Beliau setuju untuk membayarnya," katanya.

Seksyen 51 Communicable Diseases Act 2015 Thailand menetapkan bahawa seseorang yang melanggar peraturan itu boleh dikenakan denda maksimum 20,000 baht.

Bagaimanapun media Bangkok Post melaporkan pegawai penguat kuasa mungkin menimbangkan pertuduhan yang lebih ringan berdasarkan peraturan berkaitan denda itu, yang antara lain menetapkan denda 6,000 baht bagi kesalahan kali pertama, 12,000 baht bagi kali kedua, dan 20,000 baht bagi kali ketiga.

Hari ini, hari pertama peraturan memakai pelitup muka diwajibkan di tempat awam di Bangkok bagi menangani penularan Covid-19 susulan jumlah kes jangkitan yang melonjak ketika ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 April 2021 @ 11:11 PM