SEORANG lelaki menerima vaksin covid-19 di sebuah hospital di Amritsar. FOTO AFP
SEORANG lelaki menerima vaksin covid-19 di sebuah hospital di Amritsar. FOTO AFP
BERNAMA

New Delhi: Kes harian Covid-19 di India sekali lagi mencatat rekod tertinggi pada Rabu yang merekodkan 295,041 jangkitan dan 2,023 kematian dalam 24 jam, menurut Kementerian Kesihatan, lapor Agensi Anadolu.

Kementerian berkata keseluruhan kes kini mencecah 15.6 juta dan sudah meragut 182,553 nyawa.

Menurut statistik, negeri Maharashtra dan New Delhi terus menyumbang paling banyak kes.

Hampir 29,000 kes baharu didaftarkan di New Delhi, yang turut bergelut masalah kekurangan katil hospital dan bekalan oksigen.

Peningkatan jumlah kes mengakibatkan berlaku kekurangan katil, bekalan oksigen dan ubat-ubatan di beberapa bahagian di negara ini.

Perdana Menteri Narendra Modi, dalam ucapannya meminta negeri-negeri untuk melaksanakan sekatan pergerakan sebagai jalan terakhir dan menumpukan kepada zon pembendungan mikro.

"Dalam keadaan sekarang, kita harus menyelamatkan negara daripada sekatan pergerakan," katanya, sambil menambah kerajaan sedang berusaha memenuhi peningkatan permintaan bekalan oksigen.

Ketika kes terus meningkat di seluruh negara, beberapa bandar sudah mengumumkan sekatan ketat, dengan pemerintah New Delhi mengumumkan penutupan selama seminggu.

Sejak Khamis lalu, India mencatat lebih daripada 200,000 jangkitan setiap hari.

Lebih banyak kematian dilaporkan di seluruh negara, kebanyakan bandar terpaksa berhadapan dengan jumlah pembakaran mayat dan pengebumian yang semakin banyak.

Pada Isnin, kerajaan membenarkan vaksinasi Covid-19 diberikan kepada semua yang berumur 18 tahun bermula 1 Mei.

Menurut angka rasmi, lebih 130 juta dos vaksin telah diberikan setakat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 April 2021 @ 5:07 PM