JOKO Widodo. FOTO AFP
JOKO Widodo. FOTO AFP
Agensi

Jakarta: Presiden Indonesia, Joko Widodo menjelaskan bahawa larangan pulang ke kampung atau mudik dilaksanakan berdasarkan pengalaman tahun lalu.

Jokowi berkata, keputusan itu dibuat hasil pelbagai pertimbangan kerana republik berkenaan merekodkan peningkatan kes selepas empat kali cuti panjang yang berlangsung tahun lalu.

"Keputusan ini diambil melalui beberapa pertimbangan kerana pengalaman tahun lalu menyaksikan trend peningkatan kes selepas cuti panjang," katanya dalam sidang media secara maya hari ini.

Menurutnya, pada cuti sempena Aidilfitri tahun lalu, Indonesia merekodkan peningkatan kes sehingga 93 peratus dengan kematian mingguan sehingga 66 peratus.

Katanya, cuti panjang pada Ogos tahun lalu pula mengakibatkan peningkatan kes sehingga 119 peratus dengan kematian meningkat 57 peratus.

"Musim cuti ketiga direkodkan pada Oktober tahun lalu menyebabkan kes meningkat 95 peratus dengan kematian mingguan sehingga 75 peratus.

"Musim cuti hujung tahun lalu iaitu sekitar 25 Disember hingga awal Januari 2021 menyaksikan peningkatan kes harian sehingga 78 peratus dan kematian mingguan meningkat 46 peratus," katanya.

Jokowi berkata, ketika ini Indonesia menyaksikan tren penurunan kes baharu dengan angka yang dicatatkan daripada 176,672 pada Februari kepada 108,032 semalam.

Katanya, pertambahan kes harian juga terus menurun daripada 14,000 kes kepada 4,000 hingga 6,000 kes ketika ini.

Menurutnya, masyarakat harus menjaga momentum baik yang dicatatkan kini.

"Saya faham semua orang rindukan sanak saudara apatah lagi ketika lebaran hampir tiba nanti.

"Tapi, kita harus utamakan keselamatan bersama dengan tidak mudik ke kampung halaman," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 April 2021 @ 9:45 PM