SEORANG anggota polis menjalani ujian calitan Covid-19 di Bangkok. FOTO EPA
SEORANG anggota polis menjalani ujian calitan Covid-19 di Bangkok. FOTO EPA
BERNAMA

Bangkok: Thailand semalam melaporkan 1,335 kes baharu Covid-19, kenaikan harian terbesar dan julung kali melebihi angka 1,000 sejak wabak itu mula dikesan di negara ini Januari tahun lalu.

Jumlah itu juga adalah lonjakan ketiga yang dicatatkan minggu ini, menjadikan keseluruhan jangkitan kini sebanyak 35,910 kes dengan korban kekal 97 orang.

Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) berkata, daripada 1,335 kes baharu, 1,326 jangkitan tempatan dan sembilan kes import termasuk tiga dari Malaysia.

Bangkok kekal di tangga teratas dengan jumlah kes tertinggi sebanyak 351, diikuti Chiang Mai (319), Prachuap Khiri Khan (161) dan Chonburi (72).

"Sehingga kini, gelombang baharu sudah menular ke Bangkok dan di 61 wilayah dari keseluruhan 77 wilayah," kata CCSA dalam sebuah pernyataan.

Berikutan lonjakan kes baharu, Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Awam telah mempertimbangkan langkah-langkah baharu termasuk mengenakan sekatan pergerakan di wilayah berisiko tinggi termasuk Bangkok, Chiang Mai dan Prachuap Khiri Khan.

Ketua Pengarah Jabatan Kawalan Penyakit Dr Opas Karnkawinpong berkata, kebanyakan kes berkaitan dengan pusat hiburan.

Beliau menggesa jawatankuasa penyakit berjangkit wilayah memainkan peranan untuk membantu meminimumkan pergerakan orang ramai dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan.

"Setiap wilayah boleh memainkan peranan masing-masing (dalam pencegahan wabak Covid-19)," katanya.

Sehingga kini, pihak berkuasa berkaitan di 43 wilayah mengenakan sekatan kepada pengunjung dan pelancong.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 April 2021 @ 10:00 AM