SENJATA api yang dijumpai di rumah Liu. FOTO Agensi
SENJATA api yang dijumpai di rumah Liu. FOTO Agensi
Agensi

Singapura: Seorang lelaki di Singapura bukan saja memiliki dan mengedarkan komponen senjata api tanpa lesen, malah cuba mengupah pemandu e-hailing untuk menghantar satu daripada tempahan kepada pelanggannya.

Tertuduh, Liu Huijian, 41, dibicarakan pada Khamis lalu atas dakwaan memiliki 156 senapang replika serta komponen senjata api tanpa lesen. Liu turut berdepan dua tuduhan kerana memiliki senjata api tanpa lesen serta mengimport 158 senjata api.

Menurut pendakwa raya, Liu menjalankan perniagaan menjual semula aksesori berkaitan senjata api menerusi laman web jual beli popular.

Katanya, kesalahan terbabit turut termaktub dalam di bawah Akta Senjata dan Bahan Letupan.

Sementara itu, menurut saksi pertama yang juga pemandu e-hailing, Tan Chee Pheow, dia ke rumah Liu pada 16 November 2018 selepas menerima tempahan untuk mengambil penumpang ke Woodlands.

"Seorang lelaki datang dan mengetuk cermin kereta saya. Seorang lelaki Cina yang saya percaya penduduk tempatan.

"Dia menyerahkan sebuah kotak kepada saya dan memberitahu ia mengandungi majalah, buku cerita dan akhbar. Saya tak berapa ingat perbualan itu, tetapi memang kotak itu sangat berat," katanya dalam portal CNN.

Katanya, dia mula curiga dan bimbang mengenai kandungan dalam kotak itu sebelum meminta suspek membuka kotak itu terlebih dulu, jika mahu menggunakan khidmatnya.

"Dia membuka kotak itu. Saya perasan ada objek macam senjata api dan saya yakin itu bukan senapang mainan.

"Saya menyerahkan kembali kotak itu dan lelaki itu tidak mahu mengambilnya. Saya kemudian menghubungi syarikat saya untuk membatalkan tempahan," katanya.

Jika sabit kesalahan, Liu berdepan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda 5,000 dolar Singapura (RM15,407) atau kedua-duanya sekali. Pihak pendakwa menawarkan penjara empat bulan jika tertuduh mengaku salah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 April 2021 @ 7:21 AM