PEKERJA hospital sedang menyiapkan katil pesakit. FOTO AFP
PEKERJA hospital sedang menyiapkan katil pesakit. FOTO AFP
AFP

Bangkok: Hampir 40 wilayah di Thailand diletakkan dalam keadaan lebih ketat dengan peraturan kuarantin tegas untuk mereka dari Bangkok dan lokasi lain yang mencatatkan kes Covid-19 membimbangkan.

Hari ini, kerajaan mengumumkan 967 kes jangkitan baharu, menjadikan jumlah keseluruhan melebihi 32,000.

Dalam masa sama, pegawai kesihatan di Chiang Mai menyatakan bahawa terdapat 281 kes baharu dilaporkan hari ini, namun jumlah berkenaan akan dimasukkan ke dalam angka untuk Isnin.

Bangkok menjadi pusat wabak dalam gelombang ketiga dengan lebih 1,000 kes dicatatkan bulan ini.

Ketika ini, lebih 4,000 pesakit Covid-19 dirawat di hospital di seluruh negara.

Bangkok juga menyediakan 10 hospital lapangan untuk memuatkan sehingga 3,000 pesakit sebagai persediaan menempuh 'wabak paling teruk', kata Suksan Kittisupakorn, ketua pengarah bahagian perkhidmatan perubatan.

Pihak berkuasa Thailand telah mengesan varian yang mudah merebak berasal dari Britain.

Festival Songkran juga dibatalkan bagi mengelakkan orang ramai berkumpul di jalanan.

Perdana Menteri, Prayut Chan-O-Cha menggalakkan orang ramai untuk kekal di rumah pada cuti perayaan ini.

"Saya minta anda semua untuk tidak menjalankan sebarang aktiviti yang menyebabkan perhimpunan seperti pesta air atau buih," katanya.

Setakat ini, kerajaan Thailand tidak mengumumkan sekatan perjalanan namun, setakat tengah hari tadi, 38 daripada 77 wilayah menetapkan sekatan masing-masing.

Mereka meminta individu dari Bangkok, Nakhon Pathom, Pathum Thani, Nonthaburi dan Samut Prakran untuk mengasingkan diri selama 10 hingga 14 hari.

Jumaat lalu, pihak berkuasa mengarahkan penutupan semua tempat hiburan di 41 wilayah selama dua minggu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 April 2021 @ 9:11 PM