PETUGAS barisan hadapan Thailand sedang memakai pakaian perlindungan PPE. FOTO AFP
PETUGAS barisan hadapan Thailand sedang memakai pakaian perlindungan PPE. FOTO AFP
Agensi

Bangkok: Walaupun berdepan peningkatan kes jangkitan baharu Covid-19, kira-kira 50,000 orang melakukan perjalanan dari Bangkok ke kampung halaman masing-masing sejak Jumaat.

Ia adalah sempena sambutan tahunan Pesta Songkran yang berlangsung minggu depan iaitu dari 14 hingga 15 April.

Bangkok Post melaporkan bahawa kira-kira 7.3 juta kenderaan dijangka membanjiri jalan raya untuk melakukan perjalanan rentas wilayah mulai hari ini hingga 16 April.

Ahli virologi kanan Universiti Chulalongkorn, Dr Yong Poovorawan memberi amaran bahawa kes baharu harian boleh meningkat daripada angka 'puluhan kepada ratusan' selepas Pesta Songkran.

Kerajaan Thailand tidak mengeluarkan arahan berhubung sekatan perjalanan bagi percutian sempena Pesta Songkran pada tahun ini.

Bagaimanapun, beberapa pihak berkuasa wilayah menetapkan peraturan kuarantin bagi mereka yang melakukan perjalanan dari kawasan berisiko tinggi seperti Bangkok dalam usaha mengekang penularan Covid-19.

Thailand hari ini mencatat 967 kes baharu Covid-19 yang juga angka tertinggi sejak penularan virus itu pada Januari tahun lalu, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan di negara berkenaan setakat ini ialah 32,625.

Menurut kenyataan Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA), tiada kematian baharu dilaporkan dalam tempoh 24 jam dan jumlah korban akibat virus itu kekal 97 orang.

Daripada 967 kes baharu, 964 adalah jangkitan tempatan termasuk 530 yang mendapatkan rawatan di hospital dan 434 melalui pengesanan kes aktif.

Kenyataan itu menyebut tiga kes import dilaporkan iaitu masing-masing satu dari Malaysia, Emiriah Arab Bersatu dan Perancis.

"Sejumlah 53 pesakit dibenarkan keluar dari hospital pada Ahad manakala 4,314 lagi masih menerima rawatan," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pengawalan Penyakit, Dr Sophon Iamsirithaworn berkata, kluster kelab malam di Bangkok kini menular dengan pantas ke wilayah lain di negara itu.

"Situasi di negara ini semakin membimbangkan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 April 2021 @ 6:39 PM