KEADAAN Kampung Kalimendong yang bersih dan bebas dari haiwan ternakan yang berkeliaran. FOTO agensi
KEADAAN Kampung Kalimendong yang bersih dan bebas dari haiwan ternakan yang berkeliaran. FOTO agensi
Agensi

Semarang: Sesiapa saja boleh menangkap dan menyembelih ayam atau haiwan lain jika dilihat berkeliaran.

Itu peraturan unik diamalkan penduduk Kampung Kalimendong, Jawa Tengah, Indonesia sejak turun temurun.

Menurut tokoh masyarakat kampung itu, Heri Hermawan, penduduk sepakat membela haiwan ternakan mereka dalam reban mahupun kandang saja bagi mengelak kejadian seperti tanaman rosak atau pembuangan sisa najis sembarangan.

"Membela unggas terutama ayam sudah menjadi budaya penduduk kampung. Namun, di sini semuanya diletakkan dalam reban.

"Mereka sepakat tidak melepaskan haiwan ternakan mereka berkeliaran di kampung," katanya dalam portal Tribunnews.

Katanya, bagi memastikan semua mematuhi peraturan itu mereka menetapkan jika ada haiwan berkeliaran sesiapa saja dibenarkan menyembelihnya kerana dikategorikan sebagai hak awam.

"Disebabkan itu, ramai penduduk berdisiplin dan tidak berani melanggar peraturan kerana tidak mahu haiwan mereka disembelih.

"Walaupun kini peraturan itu sudah dilonggarkan sedikit, namun penduduk masih kekal mematuhi peraturan asal," katanya.

Heri berkata, peraturan itu bukan saja membuatkan persekitaran kampung mereka bersih, malah sisa najis di kandang mahupun reban digunakan sebagai baja untuk menyuburkan tanaman mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 April 2021 @ 6:01 AM