FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Agensi

Phnom Penh: Kumpulan penjawat awam menggesa kerajaan Kemboja untuk tidak mewajibkan pengambilan vaksin Covid-19 selepas Perdana Menteri, Hun Sen mengeluarkan kenyataan bahawa penjawat awam boleh diberhentikan jika enggan mengambil vaksin berkenaan.

Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan audio melalui laman Facebook memberi amaran terhadap kakitangan awam berdepan risiko dibuang kerja sekiranya tidak mendapatkan vaksin Covid-19.

"Saya ingin menegaskan bahawa sesiapa yang enggan mengambil vaksin Covid-19 perlu berdepan risiko dibuang kerja.

"Ia meliputi mereka di perkhidmatan tentera, penjawat awam nasional dan subnasional atau kakitangan kontrak," katanya seperti dilaporkan portal VOA Cambodia.

Hun Sen berkata, mereka yang enggan mendapatkan vaksin itu dianggap berisiko menyebarkan jangkitan.

Menurutnya, vaksinasi kini dilakukan secara sukarela tetapi pada masa akan datang ia diwajibkan untuk beberapa sektor pekerjaan terutama anggota angkatan bersenjata dan penjawat awam.

"Mereka yang enggan disuntik (vaksin Covid-19) menyebabkan kesukaran untuk kerajaan mencapai titik di mana 70 peratus tenaga kerja menerima pelalian, maka mereka yang belum disuntik vaksin boleh mencari kerja lain.

"Hanya dapatkan vaksin untuk melindungi nyawa anda sendiri dan ikut serta memerangi Covid-19 atau perkhidmatan anda mungkin tidak lagi diperlukan," katanya.

Hun Sen juga meminta semua menteri mengira jumlah pegawai yang diberi vaksin sepenuhnya, mereka yang masih memerlukan dos kedua dan mereka yang masih belum divaksinasi.

Beliau mengarahkan semua kementerian untuk merekrut pegawai yang diberi vaksin sepenuhnya dengan pengecualian kepada mereka yang tidak divaksin kerana disebabkan masalah kesihatan yang disertakan dengan bukti.

Pada masa sama, beliau juga menyarankan selain sijil perubatan, kad individu yang menunjukkan seseorang sudah divaksin juga perlu diperkenalkan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 April 2021 @ 7:28 PM