SEORANG lelaki menerima suntikan vaksin ZF-UZ-VAC 2001 keluaran syarikat farmaseutikal China, Anhui Zhifei Longcom Biopharmaceutical Co di sebuah klinik di Tashkent.  FOTO AFP
SEORANG lelaki menerima suntikan vaksin ZF-UZ-VAC 2001 keluaran syarikat farmaseutikal China, Anhui Zhifei Longcom Biopharmaceutical Co di sebuah klinik di Tashkent. FOTO AFP
AFP

Tashkent: Uzbekistan memulakan program vaksinasi hari ini dengan orang awam diberi peluang memilih vaksin keluaran AstraZeneca atau China.

Vaksin dari China itu dijangka dihasilkan di negara Asia Tengah itu tidak lama lagi.

Vaksin keluaran Rusia, Barat dan China digunakan secara meluas di negara berkenaan di mana negara jiran Uzbekistan, Kazakhstan menghasilkan dan mengedarkan vaksin Sputnik V keluaran Rusia.

Kyrgyzstan pula memulakan program vaksinasi mereka minggu lalu menggunakan vaksin keluaran Sinopharm, China.

Warga Uzbekistan yang mendapatkan vaksin hari ini memilih vaksin AstraZeneca.

"Sekarang saya berharap semuanya akan baik-baik saja," kata Makhfuza Tuichibayeva, pesara doktor.

Seorang lagi pesara, Pavel Prosvirin turut memilih AstraZeneca.

"Setakat ini tiada masalah yang berlaku," katanya.

Negara dengan 34 juta penduduk itu menyasarkan kakitangan perubatan dan warganegara berusia lebih 65 tahun untuk fasa pertama program vaksinasi ini.

Sementara itu, bekas pensyarah, Malika Khadjayeva berkata, dia memilih vaksin keluaran China.

"Saya mengikut rapat perkembangan vaksin ini. Ia mencatatkan 'keputusan yang sangat baik' dalam ujian klinikal fasa tiga yang dijalankan di Uzbekistan dan negara lain," katanya.

Menteri Kesihatan Uzbekistan, Abdukhakim Khadjibayev berkata, pihak berkuasa merancang untuk memberikan vaksin kepada empat juta individu menjelang akhir Jun ini.

Satu undian dalam talian yang dijalankan organisasi dikenali sebagai Yukalish mendapati 44 peratus daripada 19,000 responden tidak merancang untuk mendapatkan vaksin dan menamakan Sputnik V sebagai vaksin pilihan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 April 2021 @ 9:49 PM